CIJ Harap Kerajaan Mansuhkan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), Ganti Kepada Akta...

CIJ Harap Kerajaan Mansuhkan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), Ganti Kepada Akta Kebebasan Maklumat (RTI)

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berharap kerajaan sekarang akan meneruskan komitmen kerajaan terdahulu untuk memansuhkan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan menggantikannya dengan Akta Kebebasan Maklumat (RTI).

Pemantau media itu berkata sekarang adalah masanya untuk menggantikan budaya kerahsiaan di peringkat Persekutuan dengan budaya keterbukaan bagi memenuhi permintaan awam yang semakin meningkat demi ketelusan dan kebertanggungjawaban di semua peringkat tadbir urus.

Selaras dengan aspirasi ini, satu mesyuarat tertutup kumpulan pakar (EGM) mengenai RTI diadakan hari ini, anjuran bersama CIJ dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dan Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil mengenai Kebebasan Bersuara.

“Premis asas di sebalik mempromosi RTI ialah untuk membolehkan ketelusan, kebertanggungjawaban dan menguatkan hak rakyat untuk dimaklumkan…

“Akses kepada maklumat memudahkan orang ramai mengumpulkan pendapat mengenai isu-isu  yang mempengaruhi kita, termasuk meminta kerajaan, badan-badan dan pegawai yang berkaitan, bertanggungjawab atas keputusan mereka yang memberi kesan kepada orang awam,” menurut CIJ dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut CIJ, penanda aras untuk melindungi dan merealisasikan RTI sudah dimulakan melalui Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor dan Pulau Pinang (FOI) , yang masing-masing bertujuan untuk menegakkan hak asasi maklumat, walaupun ia berada dalam batasan terhadap setiap negeri.

“Bagaimanapun, pada masa ini, enakmen di peringkat negeri ini dijangka diselaras dengan OSA di peringkat Persekutuan yang akan menjadi duluan,” katanya.