COVID-19: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Dilanjutkan Hingga 14 April 2020 –...

COVID-19: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Dilanjutkan Hingga 14 April 2020 – PM

0
SHARE
Tan Sri Muhyiddin Yassin...

PUTRAJAYA – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020 susulan kes positif COVID-19 masih berlaku di negara ini, demikian diputuskan oleh kerajaan melalui Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini, di sini, yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelanjutan tempoh itu diumumkan lebih awal supaya rakyat akan lebih bersedia untuk membuat persediaan awal.

Muhyiddin berkata, “Sila bertenang dan jangan panik. Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan ini dilanjutkan, anda tidak perlu menyimpan terlalu banyak stok makanan kerana bekalan adalah mencukupi untuk setiap orang.”

“Saya tahu anda rasa terbeban, tapi saya (Muhyiddin) tiada pilihan, saya terpaksa lanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan untuk keselamatan anda.”

Muhyiddin turut berkata bahawa tempoh lanjutan kuat kuasa PKP akan dikaji dari semasa ke semasa dan sebarang keperluan untuk melanjutkan tempoh PKP itu, yang setakat ini dijadual berakhir pada 14 April akan diumumkan kemudian.

“Yang penting, saya mohon supaya saudara-saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah.

“Saya juga telah mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas anda sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

“Paling penting, semua keperluan asas mestilah sentiasa tersedia dan mencukupi, termasuk bekalan makanan, elektrik serta air.

“Perkhidmatan kutipan sampah dan pembetungan, kemudahan komunikasi serta logistik, keselamatan dan ketenteraman awam juga termasuk dalam aspek ini,” katanya.

Dalam pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata bahawa kerajaan menjangkakan kes-kes baru akan terus dicatatkan dalam masa yang terdekat ini.

“Oleh itu, Kementerian kesihatan telah melakukan persiapan dengan menyediakan 3,585 katil di 34 buah hospital seluruh negara untuk menerima pesakit positif COVID-19…

“Jika berlaku pertambahan jumlah kes positif COVID-19 melebihi kapasiti yang ada di hospital, beberapa tempat telah dikenal pasti untuk dijadikan pusat pengasingan dan kuarantin sementara,” katanya lagi.

Tambah Muhyiddin, penularan kes wabak COVID-19 menunjukkan peningkatan di mana daripada kes pertama jangkitan COVID-19 dikesan, hingga jam 12 tengah hari ini (25 Mac) jumlah kes positif telah meningkat kepada 1,796 kes, iaitu penambahan 172 kes baharu.