Cubaan Lelaki Menyamar Sebagai Warga Emas Untuk Naiki Penerbangan AS Gagal

Cubaan Lelaki Menyamar Sebagai Warga Emas Untuk Naiki Penerbangan AS Gagal

0
SHARE

NEW DELHI, INDIA – Cubaan seorang lelaki menyamar sebagai warga emas untuk menaiki penerbangan ke Bandar Raya New York gagal apabila ditahan anggota pasukan keselamatan di Lapangan Terbang New Delhi, Ahad lalu.

Memetik akhbar Daily Mail lelaki tersebut iaitu Jayesh Patel, 32, menggunakan pasport palsu tertera nama Amrik Singh bersama tarikh lahir 1 Februari 1938.

Jayesh juga membuat penyamaran dengan menggunakan kerusi roda selain mewarnakan janggutnya dengan warna putih dan memakai kaca mata serta serban.

Menurut media tempatan, anggota-anggota pasukan keselamatan curiga terhadap Patel apabila dia enggan menjalani pemeriksaan badan dengan alasan ‘terlalu tua’ untuk berdiri.

Pegawai polis, Rajveer Singh berkata, Patel enggan memandang anggota-anggotanya sepanjang pertemuan tersebut.

“Rupa dan tekstur kulit penumpang itu kelihatan lebih muda daripada apa yang dinyatakan dalam pasport,” kata polis.

Menurut saluran berita NDTV, Patel telah mengupah seorang ejen untuk mendapatkan pasport palsu dan bersetuju membayar ejen berkenaan sebanyak AS$41,752 (RM174,435) selepas dia tiba di AS.Lelaki itu merancang untuk mencari kerja di negara maju tersebut.

Dia yang mengaku nama sebenarnya dan berasal dari bandar Ahmedabad, Gujarat kini ditahan untuk siasatan lanjut.