Dakwaan Masalah Beberapa Hospital Di Sabah Adalah Isu Lama Yang Telah Selesai...

Dakwaan Masalah Beberapa Hospital Di Sabah Adalah Isu Lama Yang Telah Selesai – Christina

0
SHARE
Datuk Dr Christina Rundi...

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Kesihatan Sabah memperjelaskan bahawa dakwaan sebuah artikel terbitan sebuah portal berita tempatan mengenai beberapa hospital di negeri ini mengalami masalah dari segi perkhidmatan serta kemudahan dewan bedah, lif dan ubat-ubatan adalah isu lama yang telah diselesaikan.

Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata isu-isu dibangkitkan artikel bertajuk “Malaysia’s Sick Hospital” disiarkan pada 9 April menerusi ruangan surat portal berita Malaysiakini.com itu telah diselesaikan di peringkat hospital dan di peringkat jabatan kesihatan negeri.

“Pihak kami¬†¬†berharap isu-isu lama seperti ini tidak diviralkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang jelas secara sengaja ingin memburuk-burukkan usaha dilaksanakan Kementerian Kesihatan dan jabatan kesihatan negeri.

Jabatan Kesihatan Sabah sentiasa komited bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat tidak terjejas dan akan sentiasa memantau perkhidmatan sedia ada bagi memastikan keperluan menaik taraf sejajar dengan keperluan semasa,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Menjawab isu-isu dibangkitkan dalam artikel itu, Dr Christina berkata pada 2016, dewan bedah Hospital Duchess of Kent Sandakan, iaitu hospital tertua di Sabah, telah ditutup akibat masalah kulat yang boleh memudaratkan kesihatan bukan sahaja kepada pesakit tetapi juga kakitangan bertugas.

Beliau berkata projek pembaikan melibatkan kerja penggantian ducting telah mengambil masa kerana masalah kontraktor, dan hanya apabila pihaknya berpuas hati dengan pematuhan piawaian sedia ada, dewan bedah tersebut dibuka semula pada Mei 2017.

“Statistik pembedahan di hospital ini antara tahun 2015 hingga 2017 masing-masing adalah 11,785 kes; 12,076 kes; dan 13,234 kes. Statistik menunjukkan tiada penurunan bilangan kes pembedahan kerana semasa dewan bedah utama ditutup sementara, pihak hospital menggunakan bilik pembedahan lain yang ada di hospital itu,” katanya, dan menambah hospital itu mempunyai lima dewan bedah.

Mengenai dewan bedah di Hospital Lahad Datu, Dr Christina berkata, hospital berkenaan mempunyai empat bilik pembedahan termasuk satu bilik pembedahan materniti, dan kesemua bilik pembedahan sedia ada adalah mencukupi buat masa ini.

Dr Christina berkata insiden lampu pembedahan jatuh di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah juga diambil perhatian dan penggantian lampu pembedahan itu dijangka dilaksanakan tahun ini, manakala insiden di Hospital Queen Elizabeth pula, syarikat konsesi hospital telah melakukan pemeriksaan ke atas semua lampu pembedahan bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Christian berkata, pada masa kini tiada masalah bekalan ubat bagi fasiliti kesihatan di Sabah, namun, masalah bekalan ubat-ubatan yang berlaku pada awal tahun iaitu Januari hingga Februari disebabkan kegagalan pihak pembekal membekalkan ubat ke fasiliti kesihatan.

“Jabatan akan terus mengatasi masalah-masalah berkaitan perkhidmatan dan isu kesihatan dengan penuh tanggungjawab serta profesional bagi menjamin keselamatan pesakit dan kesihatan rakyat,” katanya.