Detik Cemas Buat Jemaah Haji Selepas Pesawat Tergelincir Ketika Membuat Pendaratan

Detik Cemas Buat Jemaah Haji Selepas Pesawat Tergelincir Ketika Membuat Pendaratan

0
SHARE

MINNA, NIGERIA – Detik cemas buat jemaah haji selepas pesawat dua tingkat terpaksa mendarat cemas di sebuah lapangan terbang di Nigeria pagi kelmarin.

Memetik laporan Daily Mirror, pesawat Boeing 747 Jumbo Jet yang membawa hampir 600 orang penumpang jemaah haji pulang dari Jeddah, Arab Saudi cuba mendarat dan tergelincir di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Minna di sini.

Menurut sumber, pesawat yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Max Air itu didakwa mengalami kerosakan mekanikal pada salah satu daripada empat enjinnya ketika menghampiri lapangan terbang tersebut.

Seorang saksi membe­ritahu akhbar tempatan, The Nation bahawa tiada siapa yang cedera atau terkorban tetapi penum­pang rata-rata terkejut selepas menyelamatkan diri daripada pesawat tersebut.

Sebahagian daripada landasan turut rosak dan serpihan enjin bertaburan susulan insiden tersebut, lapor akhbar berkenaan.

Seorang pegawai lapa­ngan terbang tersebut memaklumkan kepada The Nation bahawa bencana itu mungkin lebih teruk sekiranya berlaku kebakaran memandangkan mereka tidak mempunyai pasukan bomba sendiri.

“Jika pesawat itu terbakar, api mungkin merebak ke seluruh lapangan terbang kerana kami tidak mempunyai jentera bomba di sini,” jelas pegawai tersebut.

Pada masa yang sama, laporan oleh sebuah akhbar tempatan lain, The Punch pula menyatakan sekurang-kurangnya 550 jemaah haji berada dalam pesawat berkenaan apabila ia mendarat cemas kira-kira pukul 5 pagi (waktu tempatan).

“Saya tidak pernah melihat insiden seperti ini sepanjang hidup saya. Hanya Tuhan dan Tuhan sahaja yang menyelamatkan kami semua daripada bencana besar,” kata seorang lagi pegawai lapangan terbang itu kepada The Punch.

Pihak berkuasa Nigeria telah memulakan siasatan ke atas punca kemalangan tersebut meskipun syarikat penerbangan Max Air yang bertanggungjawah ke atas pesawat tersebut belum mengeluarkan sebarang kenyataan setakat ini.

Max Air merupakan sebuah syarikat kecil yang menguruskan pe­nerbangan domestik serta beberapa destinasi lain di Asia Barat yang berpangkalan di Kano, Nigeria.