Dewan Rakyat Fokus Isu Kematian Kanak-Kanak Yang Meninggal Dunia Dalam Kenderaan Akibat...

Dewan Rakyat Fokus Isu Kematian Kanak-Kanak Yang Meninggal Dunia Dalam Kenderaan Akibat Kecuaian Ibu Bapa

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Isu kematian bayi dan kanak-kanak yang meninggal dunia dalam kenderaan akibat kecuaian ibu bapa mahupun penjaga, merupakan antara perkara yang bakal dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-12 hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu berkenaan terkandung dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan oleh Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Memetik laporan Bernama, Rubiah ingin mengetahui tindakan konklusif kementerian untuk menangani tragedi seperti kes seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan yang maut, di Kuantan, Pahang, Februari lepas, selepas bapanya secara tidak sengaja meninggalkan mangsa di dalam kereta semasa keluar bekerja.

Sabri Azit (PAS-Jerai) pula dijadual bertanyakan Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai langkah mengatasi masalah liputan internet di kawasan luar bandar berikutan talian komunikasi itu amat diperlukan ketika negara berhadapan pandemik COVID-19.

Teo Nie Ching (PH-Kulai) pula dijangka mengajukan soalan kepada Menteri Pendidikan mengenai jumlah murid berkeperluan khas, jumlah guru pendidikan khas dan rancangan untuk menambah bilangan guru pendidikan khas.

Sidang Dewan pada hari pertama minggu keempat ini juga akan menyambung perbahasan titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selain itu, tumpuan juga dijangka terarah kepada pembentangan beberapa Rang Undang-Undang bagi bacaan kali kedua.

Ini termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020, Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.