Disyaki Guna Racun Dan Bahan Letupan, APMM Sabah Tahan Bot Tangkap Ikan

Disyaki Guna Racun Dan Bahan Letupan, APMM Sabah Tahan Bot Tangkap Ikan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kota Kinabalu menahan dua bot yang disyaki menangkap ikan menggunakan racun dan bahan letupan di kawasan perairan Pulau Mengalum, Khamis lepas.

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata kedua-dua bot itu ditahan sekitar 11.20 hingga 11.50 malam oleh anggota peronda Kapal Maritim Berani (KM Beran).

“Ketika itu, mereka sedang melakukan Op Khas di kawasan pantai Pulau Mengalum.

“Anggota peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dan ketika dihampiri, bot tersebut cuba melarikan diri dan kelihatan awak-awak bot sedang mencampakkan sesuatu ke dalam laut, namun berjaya dipintas, katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau menambah, hasil pemeriksaan mendapati dua juragan warga tempatan bersama empat awak-awak yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dalam lingkungan umur 32 – 50 tahun berada di atas kedua-dua bot terbabit.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan menjumpai serbuk putih dipercayai racun sianida serta peralatan yang dibuang ke dalam laut disyaki bom ikan, selain ikan yang ditangkap menggunakan bahan berkenaan,” katanya.

Bot, juragan dan awak-awak ditahan dan diiringi ke jeti Pulau Mengalum untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.