Dr Asyraf Gesa Lim Guan Eng Memohon Maaf Secara Terbuka

Dr Asyraf Gesa Lim Guan Eng Memohon Maaf Secara Terbuka

0
SHARE
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki...

KENYATAAN MEDIA DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI BERHUBUNG ISU PENGGUNAAN BAHASA MANDARIN OLEH Y.B MENTERI KEWANGAN LIM GUAN ENG:

1. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius tindakan Y.B Lim Guan Eng yang mengeluarkan Kenyataan Rasmi Kementerian Kewangan dengan menggunakan Bahasa Mandarin dan mengenepi penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi Kerajaan Persekutuan.

2. Tindakan seperti ini sama sekali TIDAK BOLEH DITERIMA dan seperti sengaja ingin mempermainkan sentimen perkauman dan MENGHINA kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

3. Janganlah atas nama Malaysia Baharu, semua perkara hendak dihalalkan sehingga sanggup mencabuli prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada kesejahteraan dan keharmonian negara sejak 61 tahun lalu.

4. Tindakan ini juga sama sekali BERTENTANGAN dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menyebutkan ‘Bahasa Kebangsaan Hendaklah Digunakan Bagi Maksud Rasmi’. Dalam konteks ini umum mengetahui bahawa Bahasa Kebangsaan ialah BAHASA MELAYU.

5. Saya ingin mengingatkan beliau, sebagai orang lama dalam arena politik, beliau sepatutnya lebih peka dan sensitif bahawa apa-apa tindakan yang dilakukan tidak boleh menyentuh hal dan perkara yang telah termaktub dan dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan.

6. Setiap perkara dalam Perlembagaan termasuk kedudukan Bahasa Melayu merupakan TIANG SERI yang menjadi satu citra dan wajah kepada peradaban dan ketamadunan bangsa Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan. Justeru kalau benar merasai diri lebih Malaysia daripada Cina sebagaimana kenyataan beliau sebelum ini, maka pemakaian Bahasa Kebangsaan tidak wajar dikompromi.

7. Dengan ini Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menuntut agar Y.B Menteri Kewangan MENARIK BALIK Kenyataan Media tersebut dan MEMOHON MAAF SECARA TERBUKA kepada seluruh rakyat Malaysia kerana secara jelas telah merendahkan martabat Bahasa Kebangsaan.

DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI,
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA.