Dr Maszlee Letak Jawatan Menteri Pendidikan Atas Nasihat Perdana Menteri

Dr Maszlee Letak Jawatan Menteri Pendidikan Atas Nasihat Perdana Menteri

0
SHARE
DR. MASZLEE BIN MALIK...

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, mengumumkan beliau meletakkan jawatan sebagai menteri, berkuat kuasa esok dalam satu sidang media khas di Kementerian Pendidikan di sini sebentar tadi.

“Saya dengan hati yang reda, dengan nasihat dari perdana menteri, saya Maszlee Malik dengan ini memulangkan jawatan saya sebagai menteri pendidikan berkuatkuasa 3 Januari,” katanya.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dr Maszlee yang juga bekas pensyarah dilantik menjadi Menteri Pendidikan pada 21 Mei 2018 lalu dilihat menjadi sasaran kritikan para netizen dan rakyat sejak kebelakangan ini, namun beliau sempat menyenaraikan pencapaian Kementerian Pendidikan sepanjang pengawasan beliau di dalam sidang media sebentar tadi.

Pada masa yang sama, Tun Dr. Mahathir Mohamad dipetik sebagai mengulas perkara ini berkata bahawa Menteri Pendidikan yang baharu bagi menggantikan Dr. Maszlee Malik akan diumumkan dalam sedikit masa lagi.

Menurut Tun Dr. Mahathir, beliau telah menerima peletakan jawatan tersebut yang berkuatkuasa 3 Januari 2020.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas khidmat yang telah beliau berikan selama menjadi anggota Kabinet.

“Pengganti beliau akan saya tentukan dan umumkan dalam sedikit masa lagi,” katanya dalam satu kenyataan kepada para pengamal media.