Drama Berakhir, Argentina Layak Ke Pusingan Kalah Mati Piala Dunia

Drama Berakhir, Argentina Layak Ke Pusingan Kalah Mati Piala Dunia

0
SHARE

ST PETERSBURG, RUSSIA –  Argentina dan Lionel Messi melangkah ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas gol kemenangan yang dihasilkan pemain pertahanan, Marcos Rojo pada minit ke-86 membolehkan mereka menang 2-1 ke atas Nigeria, awal pagi tadi.

AFP melaporkan bahawa skuad juara dua kali itu akan menentang Perancis di kelompok 16 terakhir manakala Croatia yang layak selaku juara Kumpulan D selepas mengalahkan Iceland 2-1, akan bertemu Denmark.

Nigeria hampir menyingkirkan Argentina tetapi Rojo berjaya menjaringkan gol hasil hantaran lintang Gabriel Mercado beberapa minit sebelum tamat perlawanan.

Ketika drama di St Petersburg berakhir, Iceland pula berhempas pulas untuk melakar kemenangan ke atas Croatia di Rostov-on-Don kerana sedar hanya kemenangan yang akan membawa mereka ke pusingan kedua. Bagaimanapun, Argentina tidak lagi perlu memikirkan keputusan di Rostov-on-Don selepas berjaya menundukkan Nigeria.

Messi meletakkan Argentina di depan pada minit ke-14 tetapi lawan dari Afrika itu menyamakan kedudukan selepas Victor Moses menyempurnakan penalti pada minit ke-51. Skuad Amerika Selatan itu dilihat bergelut untuk mencari gol kemenangan pada babak kedua.

Walaupun memiliki barisan penyerang yang diakui berbisa, Argentina terpaksa meletakkan harapan kepada pertahanan, Rojo untuk menghasilkan gol yang turut mendapat perhatian Messi.

“Kami tahu bahawa kami akan menang, kami yakin tuhan akan membantu kami. Kami percaya semuanya akan berubah. Tetapi kami tidak pernah membayangkan bahawa kami akan bergelut sebegini rupa…

“Apa yang penting sekarang ialah kami sudah layak ke pusingan kedua,” kata Messi.

Perlawanan bermula dengan baik buat skuad bimbingan Jorge Sampaoli itu yang hanya berjaya mengumpul satu mata hasil dua perlawanan awal.

Hantaran Ever Banega disambut baik oleh Messi sebelum melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol muda Nigeria, Francis Uzoho untuk gol pertama Argentina.

Kehadiran Banega di dalam pasukan cukup melegakan Sampaoli dan pemain tengah Sevilla itu memberikan tenaga yang amat diperlukan pasukannya di Russia.

Ia aksi yang baik buat Argentina tetapi perlawanan berubah seratus peratus sebaik memasuki babak kedua.

Ketika cuba mempertahankan kubunya, pertahanan Argentina, Javier Mascherano mengasari Leon Balogun dan sejurus pemain Nigeria itu jatuh, pengadil Turki, Cuneyt Cakir menghadiahkan penalti yang mudah disempurnakan Moses bagi mengikat kedudukan.