Enam Warga Indonesia Ditahan, Suspek Curi Motosikal

Enam Warga Indonesia Ditahan, Suspek Curi Motosikal

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

MIRI, SARAWAK – Enam lelaki warga Indonesia ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Kuala Baram Bypass di sini malam Jumaat lalu.

Bertindak atas maklumat, serbuan dijalankan sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri kira-kira jam 5 petang. Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah ketika dihubungi semalam mengesahkan serbuan dan tangkapan enam suspek terbabit. Menurutnya, operasi serbuan tersebut bermula jam 5 petang dan berakhir jam 11.30 malam.

“Dalam serbuan itu, polis berjaya menemui enam buah motosikal di ladang terbabit disyaki motosikal curi.“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai satu senapang angin buatan sendiri dalam rumah suspek dan sebilah keris badik di badan suspek,” katanya.

Sehubungan itu, suspek warga asing berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan selanjutnya.Semua barang ditemui di ladang dan rumah suspek turut dirampas dijadikan bahan kes.

Lim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.