Etnik Rohingya Maut Dalam Serangan Pemberontak Di Myanmar

Etnik Rohingya Maut Dalam Serangan Pemberontak Di Myanmar

0
SHARE

YANGON – Sekurang-kurangnya lima anggota polis dan tujuh etnik Rohingya terbunuh di Rakhine, malam tadi kata kerajaan.

Pertumpahan darah itu berlaku selepas lelaki terbabit melancarkan serangan terancang ke atas beberapa pos kawalan polis dan cuba memecah masuk ke pangkalan tentera.

Serangan itu menunjukkan konflik di Rakhine semakin memuncak sejak Oktober lalu. Ketika itu, serangan hampir sama mengorbankan sembilan anggota polis sehingga mencetuskan operasi ketenteraan besar-besaran.

Dalam operasi itu tentera didakwa melakukan pembersihan etnik dengan membunuh dan merogol serta memusnahkan kediaman penduduk awam terutamanya etnik Rohingya.

Operasi ketenteraan itu menyebabkan kira-kira 87,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh pasukan keselamatan Myanmar melakukan jenayah kemanusiaan.