FAA Senaraikan CAAM Sebagai Pengawal Selia Penerbangan Kategori 2

FAA Senaraikan CAAM Sebagai Pengawal Selia Penerbangan Kategori 2

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengumumkan bahawa Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat memaklumkan yang ia telah disenaraikan sebagai Pengawal Selia Penerbangan Kategori 2 pada hari ini.

Ia adalah hasil daripada Kajian Semula FAA Review ke atas CAAM yang dilaksanakan pada April 2019.

FAA menjalankan audit pengawal selia yang mengawasi operasi penerbangan ke Amerika Syarikat.

Audit itu merangkumi bidang perundangan, pengawasan, perwakilan kuasa serta kecukupan bilangan kakitangan teknikal di bawah CAAM.

Pengerusi CAAM, Kapten Ahmad Ridzwan Mohd Salleh mengakui bahawa dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pengawal selia penerbangan, ada berlaku beberapa kelemahan.

“Kami ingin menegaskan bahawa penilaian hanya merangkumi peranan CAAM sebagai pengawal selia penerbangan…

“Pengkategorian ini bukan penilaian Syarikat Penerbangan, Lapangan Terbang atau Perkhidmatan Trafik Udara yang berada di bawah naungan CAAM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, oleh kerana disenaraikan sebagai Pengawal Selia Kategori 2, syarikat penerbangan yang dilesenkan oleh CAAM tidak dapat menambah laluan baharu ke dan dari Amerika Syarikat.

Ahmad Ridzwan berkata penilaian dan pengkategorian berikutnya oleh FAA adalah bersifat sendiri dan sepihak dan di bawah hak mereka sebagai negara ahli ICAO.

CAAM meminta FAA untuk menjalankan penilaian semula dalam masa 12 bulan akan datang dengan hasrat agar status Kategori 1 ia dipulihkan semula.

“Dimaklumkan bahawa perancangan telahpun dibuat untuk menangani dapatan audit tersebut,” katanya.

CAAM berkata ia terus menyumbang kepada pembangunan dan pengawasan penerbangan menerusi kerusinya dalam Majlis ICAO Council.

Ia juga terus mematuhi sepenuhnya semua standard dan undang-undang ICAO dan telah diaudit oleh ICAO pada pertengahan 2019.

Memandangkan ciri-ciri kritikal penerbangan, CAAM mengambil serius penilaian FAA itu dan berusaha untuk membuat perubahan dalam struktur dan operasinya.

CAAM juga menyatakan Kementerian Pengangkutan telah dimaklumkan mengenai perkembangan dalaman ini.

– BERNAMA