Fahami Konsep Istito’ah Sebelum Tunaikan Ibadah Haji – Mufti

Fahami Konsep Istito’ah Sebelum Tunaikan Ibadah Haji – Mufti

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini perlu memahami konsep istito’ah sebelum menunaikan ibadah haji yang mana ia merupakan salah satu perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu dan menjadi kewajipan dalam menjalankan ibadah itu.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata kemampuan menunaikan haji atau istito’ah mempunyai pengertian luas yang merujuk kepada kemampuan mengerjakan haji daripada segi kewangan, bekalan, kenderaan dan perjalanan yang aman.

Beliau berkata istito’ah segi bekalan membawa kepada pengertian bekalan mencukupi baginya menuju ke tanah suci sehingga pulang di samping bekalan yang mencukupi bagi keluarga di bawah tanggungannya di tanah air.

“Istito’ah dengan makna ada kenderaan yang menyampaikan ke Makkah pula seperti kapal terbang atau kenderaan selesa, termasuk perjalanan menuju ke sana penuh dengan aman. Tidak ada rusuhan, tidak ada perkara membawa peperangan dan seumpamanya,” katanya kepada Bernama menerusi Lembaga Tabung Haji (TH).

Zulkifli berkata istito’ah untuk menunaikan haji juga merujuk kepada beberapa faktor yang penting iaitu termasuk mahram, kesihatan, kuota atau kebenaran haji daripada kerajaan Arab Saudi dan keselamatan.

Katanya berdasarkan Mazhab Syafie, keperluan mahram dilebarkan mengenai kebolehan wanita pergi ke Makkah apabila wujudnya nisak thiqah, bermaksud jika ketiadaan suami atau mahram, maka dibolehkan pergi bersama dua perempuan yang dipercayai, amanah dan taat atau thiqah, dan memadai juga kepadanya seorang wanita yang thiqah.

“Inisiatif dari TH amat jelas apabila adanya pihak tertentu yang sama-sama membantu sebagai satu keluarga besar haji. Kita anggap mahram adalah penting bahkan wajib, tetapi bentuknya yang pertama adalah mahram seperti adik-beradik, bapa begitu juga suaminya. Sekiranya tidak ada, wanita thiqah sebagaimana dinaskan dalam Mazhab Syafie diperlukan,” katanya.

Beliau berkata bagi makna istito’ah bagi kemampuan kesihatan mengerjakan haji, kajian dibentangkan dalam muzakarah haji membahagikan kemampuan kesihatan kepada dua bahagian iaitu merujuk kepada kesihatan kronik dan tidak kronik.

Katanya menerusi muzakarah itu mereka mengalami kesihatan kronik, sukar dan terpaksa membelanjakan jumlah perbelanjaan yang besar sekiranya dipilih sebagai jemaah, tidak termasuk dalam golongan istito’ah dan boleh dibadalkan hajinya.

“Sakit yang dianggap sebagai tidak kronik seperti asma, kencing manis, darah tinggi, gaot atau seumpamanya yang memungkinkan dengan menggunakan ubat-ubatan atau dengan bantuan Tabung Haji melalui pegawai kesihatan yang ditugaskan, maka di situ kemampuan kesihatan seperti itu dibolehkan.

“Tetapi, kita juga perlu mengambil inisiatif atau ikhtiar dengan mencukupkan sedikit kewangan khusus untuk ubat-ubatan kerana bimbang jika kehabisan ubat dan perlu membelinya di farmasi,” kata Zulkifli.

Beliau berkata kuota atau kebenaran mengerjakan haji dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi juga termasuk dalam istito’ah bagi menghormati polisi sesebuah negara kerana asas dipegang dan dilaksanakan mereka.

“Sekali pun kita bertubuh sihat, duit mencukupi bahkan melebihi serta memenuhi semua syarat, seseorang jemaah itu tidak dianggap istito’ah, bahkan perlu menunggu hingga sampai giliran sampai barulah dikira istito’ah.

“Kita kena faham, bukan kita sahaja, tetapi umat Islam dari pelusuk dunia mahu melaksanakan haji termasuk negara seperti Amerika Syarikat, England, Perancis, Jerman atau Jepun. Itu belum lagi negara yang mempunyai jumlah orang Islam ramai seperti Indonesia, Turki, Mesir juga Malaysia,” katanya.

Justeru katanya meraikan dan mematuhi isu mengenai kuota haji atau kebenaran haji yang dipanggil tashrih atau kebenaran melaksanakan ibadat haji adalah perkara yang juga termasuk dalam istito’ah haji.

Zulkifli berkata bagi istito’ah dalam aspek keselamatan, ia seharusnya dilihat kepada diri sendiri serta keluarga dan perlu dilihat dalam bentuk lebih luas daripada dasar atau pandangan negara sekiranya berlaku pergolakan atau musibah membawa kepada ketidakamanan serta risiko kepada jemaah haji.

“Keselamatan hendaklah diambil kira kerana keamanan dalam perjalanan, di tempat tujuan dalam melaksanakan haji penting yang perlu kita fahami sebaiknya supaya ibadah haji dilakukan dalam keadaan hati tenang dan sempurna akhirnya dengan kesempurnaan melayakkan seseorang mendapat haji mabrur,” katanya.

Beliau berkata sekiranya berlaku ancaman dalam perjalanan atau peperangan menuju Tanah Suci yang tidak mempunyai jaminan keselamatan, wabak besar menyebabkan kepada kebinasaan, dan keselamatan tempat dituju tidak memenuhi spesifikasi juga membawa kepada ketidakwajiban dalam menunaikan haji kerana tidak dianggap sebagai istito’ah.

– BERNAMA