Final Kedua Piala AFF Suzuki 2018, Malaysia Dapat Suntikan Semangat – Tan...

Final Kedua Piala AFF Suzuki 2018, Malaysia Dapat Suntikan Semangat – Tan Cheng Hoe

0
SHARE
Tan Cheng Hoe...

SEPANG, SELANGOR – Skuad Harimau Malaya mendapat suntikan semangat menghadapi Vietnam pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018, setelah dua tonggak di bahagian pertahanan, kembali pulih daripada kecederaan untuk aksi berkenaan di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu ini.

Dua pemain berkenaan adalah pertahanan tengah, Aidil Zafuan Abd. Radzak dan pertahanan kiri, Muhammad Syazwan Andik Mohd. Ishak yang tidak diturunkan pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lepas yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 2-2.

Aidil Zafuan Abd. Radzak…

Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe mengakui kehadiran semula dua pemain berkenaan selain kembalinya pertahanan kanan, Muhammad Syahmi Safari daripada penggantungan satu perlawanan, nyata memberi kelegaan kepadanya untuk aksi genting di Hanoi nanti.

“Kita harap dengan kembalinya tiga pemain pertahanan ini, ia sedikit sebanyak membantu kita di barisan pertahanan, namun kita tahu serangan Vietnam agak pantas, cepat mengambil peluang dan pemain perlu fokus selain kubu negara tidak dibolosi,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum berlepas ke Hanoi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan akan berlakunya perubahan formasi terutamanya di bahagian pertahanan selepas kubu skuad negara mudah dibolosi pada aksi sebelum ini, namun mengakui ia bergantung kepada keadaan pada hari perlawanan berkenaan.

“Pemain juga sudah tahu keadaan cuaca di sana, mungkin hujan atau keadaan sejuk dan pemain kena bersedia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sana nanti,” jelas Cheng Hoe yang menjadi penolong jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal ketika Malaysia meraih kejuaraan sulung pada edisi 2010.

– BERNAMA