Gangguan Sistem Di KLIA Punca Beberapa Penerbangan Ditangguhkan

Gangguan Sistem Di KLIA Punca Beberapa Penerbangan Ditangguhkan

0
SHARE

SEPANG – Gangguan sistem yang berlaku sejak malam semalam akan berterusan sepanjang hari ini pada kedua-dua terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyebabkan beberapa penerbangan ditangguhkan.

Setakat pukul 10.30 pagi tadi, terdapat 20 penerbangan yang dilaporkan ditangguh di terminal utama KLIA dan penerbangan terjejas termasuk ke Narita, Jepun; Perth, Sydney dan Melbourne, Australia; Jakarta, Indonesia; London dan Hong Kong.

Pengendali lapangan terbang yang terbabit berkata bahawa pihaknya sedang cuba mengatasi masalah tersebut dan satu pasukan telah bekerja sepanjang masa sejak masalah tersebut timbul.

“Semua kakitangan lapangan terbang yang berkaitan ditugaskan untuk membantu penumpang di lapangan kerana kami menjangkakan keadaan ini akan berterusan sepanjang hari ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Gangguan tersebut turut menjejaskan beberapa sistem lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter-kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).

Susulan perkara tersebut, Malaysia Airport menasihatkan para penumpang berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam sebelum masa berlepas dan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan jadual penerbangan terkini.

Sementara itu, Malaysia Airlines menerusi akaun Twitternya menggesa para penumpang melakukan daftar masuk menerusi dalam talian ataupun telefon bimbit berikutan gangguan tersebut yang memberi kesan kepada proses daftar masuk dan pelepasan.

“Malaysia Airlines melakukan daftar masuk secara manual dan ia akan mengambil masa yang lebih panjang,” katanya sambil memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi penumpang.