‘Genius Muda’ 9 Tahun Bakal Jadi Graduan Termuda PHD

‘Genius Muda’ 9 Tahun Bakal Jadi Graduan Termuda PHD

0
SHARE
Laurent Simons...

LONDON – Seorang budak lelaki diberi gelaran ‘genius muda’ apabila ia bakal menjadi graduan termuda di dunia untuk menyambung pengajian sama ada di Oxford atau Cambridge.

Laurent Simons yang berusia sembilan tahun, berasal dari Belgium menamatkan pembelajaran sekolah rendah hanya dua tahun dan begitu juga di peringkat menengah.

Menurut sumber yang dipetik Daily Mail, Laurent bakal menjadi graduan universiti termuda dunia pada Disember ini apabila menyelesaikan pengajian ijazah kejuruteraan elektrik di Universiti Teknologi Eindhoven di Belanda. Laurent juga berjaya melengkapkan kursus pengajian tiga tahun itu hanya lapan bulan.

Kini bapanya, Dr Alexander Simons, 37, seorang pakar pergigian berharap universiti terbaik dunia berminat membantu anaknya menyambung pengajian sehingga peringkat doktor falsafah (PhD).

“Matlamat Laurent ialah menyambung pengajian sehingga ke peringkat PhD dengan menjalankan penyelidikan organ tiruan dan robotik. Adalah bagus jika dia dapat belajar di United Kingdom,” katanya.

Laurent, yang lahir di Belgium dilabel sebagai kanak-kanak genius dan dibandingkan dengan Albert Einstein dan Stephen Hawking. Kanak-kanak itu mampu bertutur empat bahasa.

Tutornya di Eindhoven, Professor Peter Baltus berkata: “Laurent adalah tiga kali ganda lebih bijak berbanding pelajar terbaik yang pernah saya temui.”

Laurent Simons bersama ibu bapanya…

Dr Simons dan isterinya Lydia, 29, menegaskan Laurent masih seorang kanak-kanak normal yang gemar menyertai aktiviti go-kart, bermain Minecraft dan Fortnite bersama rakannya.

Cita-cita Laurent ialah untuk merevolusikan pembedahan jantung kerana kedua-dua datuk neneknya mengalami masalah jantung.

“Matlamat saya sebagai seorang saintis ialah melanjutkan jangka hayat manusia,” katanya.