Gol Safawi Bantu Malaysia Benam Indonesia 2-0

Gol Safawi Bantu Malaysia Benam Indonesia 2-0

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi menunjukkan skuad bola sepak Malaysia berjaya membenam Indonesia 2-0.

Melalui jaringan dua gol hebat Muhammad Safawi Rasid yang beraksi di sayap kanan sudah cukup bagi skuad Harimau Malaya untuk memenangi perlawanan tersebut malam tadi.

Perlawanan malam tadi menyaksikan Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe meletakkan Safawi dan Muhammad Akhyar Rashid yang masing-masing beraksi di sayap kanan dan kiri, manakala Mohamadou Sumareh diberikan tanggungjawab menggalas tugas selaku penyerang tengah berikutan penyerang utama, Muhammad Syafiq Ahmad dan pemain pertahanan, Mathew Davies tidak boleh beraksi kerana menerima dua kad kuning sebelum ini.

Perlawanan yang sengit sejak sepak mula dengan kedua-dua pasukan saling melakukan serangan, skuad Garuda hampir menggegarkan Gawang Malaysia menerusi Febri Hariyadi, namun percubaan jarak jauhnya tersasar sedikit ke atas palang pada minit keenam.

Febri kemudian mendapat satu lagi peluang apabila berhadapan situasi satu lawan satu menentang Khairulazhan Mohd Khalid pada minit ke-20, menyaksikan penjaga gol itu mengalami kecederaan ketika menyelamatkan percubaan bahaya itu.

Akibat kecederaan tersebut, Mohd Farizal Marlias dibawa masuk untuk menggalas tugas menjaga gawang gol Malaysia.

Skuad Harimau Malaya akhirnya memecahkan kebuntuan menerusi sepakan percuma Safawi pada minit ke-29, yang melencong ke sudut kiri melepasi penjaga gol Indonesia Muhammad Ridho, dan sekaligus menggegarkan stadium dengan sorakan kegembiraan penyokong tuan rumah.

Keadaan itu bagaimanapun menyebabkan segelintir penyokong Indonesia yang sedikit beremosi bertindak membakar suar dan penyokong kedua-dua pasukan saling membaling pelbagai objek ke arah masing-masing.

Bersambung babak kedua, Malaysia yang kini berada pada ranking ke-158 dunia, mendapat peluang untuk menggandakan jaringan, tetapi rembatan Mohamad Syamer Kutty Abba selepas menerima hantaran dari Norshahrul Idlan Talaha, tersasar ke atas pada minit ke-64, manakala rembatan Brendan Gan selang empat minit kemudian berjaya ditampan keluar oleh Muhammad Ridho.

Safawi sekali lagi menggegarkan stadium yang dihadiri 75,000 penyokong menerusi jaringan pada minit ke-72 dengan melakukan rembatan kencang dari sudut kiri palang gol yang deras melepasi Muhammad Ridho ke dalam gawang skuad Garuda Merah Putih itu.

Indonesia mendapat peluang keemasan untuk mengurangkan jurang apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Mohd Farizal menjatuhkan Febri yang berjaya melakukan larian ke dalam kotak penalti pada minit ke-82.

Bagaimanapun Mohd Farizal bertindak cemerlang untuk menyelamatkan sepakan penalti penyerang kelahiran Nigeria, Osas Marvellous di sudut kanannya.

Safawi, 22, kemudian mendapat dua peluang untuk melengkapkan hatrik, namun sepakan percumanya pada minit ke-84 dan percubaan jarak jauh dua minit kemudian tersasar sedikit.

Safawi kemudian dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu kerana menampilkan aksi memberangsangkan sepanjang perlawanan.

Satu lagi aksi Kumpulan G membabitkan Vietnam dan Thailand di Hanoi terikat tanpa jaringan, membolehkan Malaysia yang kini telah meraih sembilan mata selepas lima aksi dalam kempen kelayakan itu, mengatasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Thailand untuk menduduki tempat kedua, di belakang Vietnam (11 mata).

Thailand berada di tempat ketiga dengan lapan mata, diikuti UAE dengan enam mata daripada empat perlawanan, manakala Indonesia berada di tangga tercorot (kelima) Kumpulan G selepas gagal meraih sebarang mata dalam kelima-lima perlawanan setakat ini.