GRAB Wujudkan Hampir 400 Peluang Pekerjaan Sempena Pelancaran RCoE

GRAB Wujudkan Hampir 400 Peluang Pekerjaan Sempena Pelancaran RCoE

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Hampir 400 peluang pekerjaan baharu bakal diwujudkan oleh GRAB ketika melancarkan Pusat Kecemerlangan Serantau (RCoE) di ruang pejabat baharu dengan keluasan 54,000 kaki persegi yang mampu menempatkan lebih 1,000 kakitangan.

Pengarah Negara Grab Malaysia, Sean Goh, berkata RCoE dan pusat Research & Development (R & D) itu akan memberi fokus kepada operasi GRAB yang kini telah berkembang di lapan negara membabitkan 336 bandar utama.

RCoE akan memfokus kepada fungsi operasi dan strategi perniagaan utama GRAB termasuk undang-undang, pengalaman pelanggan, perkhidmatan kewangan dan kreatif.

Sean Goh…

Pusat R&D pula akan menumpukan kepada pembangunan kepercayaan dan penyelesaian keselamatan.

GRAB turut mengendalikan enam lagi pusat R&D di Singapura, Seattle, Bangalore, Ho Chi Minh dan Jakarta.

Sehingga kini, GRAB telah membuat pelaburan mencecah AS$6.8 bilion (RM27.9 bilion) sejak 2014 dengan pelaburan yang terbesar dicatatkan pada Julai tahun lalu dengan nilai AS$2.9 bilion (RM11.9 bilion).

“GRAB sentiasa memperuntukkan pelaburan bagi membangunkan strategi perniagaan dan operasinya yang memberi pengalaman terbaik pelanggan serta menawarkan peluang menjana pendapatan kepada rakyat di negara ini.

“Kami juga mahu bekerjasama lebih rapat dengan kerajaan Malaysia untuk membina peraturan dan polisi yang memberi situasi menang-menang bagi membolehkan perkhidmatan terbaik ditawarkan kepada populasi yang besar di Malaysia,” katanya di majlis pelancaran RCoE di sini, kelmarin, yang turut dihadiri oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Goh turut berkata bahawa pusat itu merupakan tindak balas GRAB kepada saranan kerajaan bagi kerjasama awam-swasta untuk membantu merealisasikan rancangan Industri 4.0 dan aspirasi ekonomi digital Malaysia.

Beliau berkata syarikat itu turut komited untuk membantu Malaysia membuka peluang ekonomi yang lebih besar dengan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, membimbing tenaga kerja teknologi dengan lebih baik dan menarik lebih ramai rakyat Malaysia yang berada di luar negara kembali ke tanah air.