Guru Wanita Rugi RM1.13 Juta Selepas Diperdaya Macau Scam

Guru Wanita Rugi RM1.13 Juta Selepas Diperdaya Macau Scam

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Seorang guru wanita mendakwa kerugian kira-kira RM1.13 juta termasuk yang diperoleh daripada pinjaman peribadi selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam dalam kejadian di sini, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata mangsa yang berusia 49 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan memaklumkan kenderaan wanita tersebut terlibat dalam kemalangan maut dan dia sendiri terlibat dalam pengubahan wang haram.

“Mangsa diarahkan membuka dua akaun bank dan menjadikan nombor telefon yang diberi oleh suspek sebagai nombor telefon pemilik akaun…

“Selepas akaun simpanan dibuka, mangsa telah memindahkan wang simpanan miliknya ke dalam akaun tersebut seperti yang diarahkan suspek kononnya bagi tujuan siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Zaid berkata mangsa turut membuat pinjaman peribadi di beberapa bank selepas sindiket itu mengarahkan mangsa menyediakan wang jaminan dan kemudiannya menyerahkan wang simpanan serta pinjaman peribadi dengan jumlah keseluruhan RM1,132,475 kepada sindiket.

Mohd Zaid berkata mangsa menyedari dirinya tertipu selepas mendapati wang dalam akaun yang baharu dibukanya telah tiada dan membuat laporan polis semalam.

“Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan sindiket Macau Scam agar tidak terpedaya dengan tipu helah mereka yang memperdayakan mangsa dengan menyamar sebagai pegawai polis, pegawai bank, pegawai kastam dan sebagainya…

“Nombor telefon yang digunakan adalah memang daripada agensi berkaitan dan ini dipanggil teknik ‘spoofing’. Orang ramai juga boleh hadir di  balai polis berdekatan untuk sebarang pertanyaan atau keraguan,” katanya.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.