Tuesday, September 17, 2019
Hampir 60 Terkorban Selepas Kereta Api Rempuh Orang Ramai Di India

Hampir 60 Terkorban Selepas Kereta Api Rempuh Orang Ramai Di India

0
SHARE

AMRITSAR, INDIA – Kira-kira 60 orang terkorban selepas sebuah kereta api merempuh orang ramai yang sedang menyaksikan pertunjukan bunga api di India, kata pihak berkuasa semalam.

AFP melaporkan bahawa berpuluh-puluh orang lagi cedera dalam kemalangan tersebut, dengan sebahagiannya cedera parah, manakala hospital-hospital tempatan yang sesak tiada tempat untuk menyimpan mayat, memaksa mereka meletakkan beberapa mayat di luar.

Tragedi tersebut yang berlaku berhampiran Amritsar di utara negara ini menyebabkan wujud tuntutan baharu untuk pembaharuan keselamatan sistem kereta api yang sering menyebabkan kemalangan di India, yang mencatatkan ribuan kematian setiap tahun.

Laporan menyebut bahawa kereta api berkenaan telah merempuh orang ramai yang sedang berkumpul di atas landasan untuk melihat upacara pembakaran patung gergasi Raja Ravana yang berisi bunga api sempena satu festival keagamaan.

Pihak polis berkata, mangsa-mangsa tidak mendengar kedatangan kereta api ekspres Jalandhar-Amritsar itu kerana bunyi kenderaan tersebut tenggelam disebabkan bunyi letupan mercun dan bunga api.

Sebuah lagi kereta api nyaris merempuh orang ramai dua minit lebih awal, kata pihak berkuasa.

Banyak mayat yang terputus dan polis berkata, pengecaman mangsa mungkin mengambil masa beberapa hari, demikian kata pihak berkuasa…

Ketua Pegawai Perubatan untuk Amritsar, Hardeep Singh, memberitahu agensi berita AFP bahawa 59 kematian telah disahkan dan 90 orang tercedera.Singh berkata hanya 25 mayat telah dikenal pasti setakat ini.

Laporan media tempatan berkata, terdapat 61 orang yang maut.