Harga Minyak RON95 Dan RON97 Naik Lagi 1 Sen

Harga Minyak RON95 Dan RON97 Naik Lagi 1 Sen

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kenaikan harga runcit petrol terus berlaku apabila RON95 dan RON97 masing-masing naik sebanyak 1 sen seliter bagi bermula tengah malam ini hingga 22 Februari depan.

Memetik kenyataan Kementerian Kewangan hari ini, pengguna bakal menikmati harga runcit RON95 pada harga RM1.98 daripada RM1.97 seliter dan RON97 pada harga RM2.28 berbanding RM2.27 seliter sebelum ini.

Jelasnya, harga diesel kekal pada paras RM2.18 seliter untuk tempoh sama meskipun harga pasaran sebenar Mekanisme Harga Automatik (APM) dinaikkan sebanyak 1 sen iaitu RM2.19 seliter.

“Harga produk petroleum yang diproses di pasaran dunia telah meningkat berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada AS$ 62 setong kepada AS$ 63 setong bagi petrol RON95 dan daripada AS$73 USD setong kepada AS$74 USD setong bagi diesel.

“Peningkatan harga pasaran global ini telah menyebabkan kenaikan harga runcit bagi produk petrol dan diesel namun, harga runcit petrol RON95 masih lagi di bawah paras penstabilan harga yang dijanjikan oleh kerajaan iaitu RM2.20 seliter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada minggu lalu, kerajaan menetapkan harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing naik sebanyak 4 sen seliter iaitu daripada RM1.93 kepada RM1.97 seliter untuk RON95 manakala RON97 pada harga RM2.27 berbanding RM2.23 seliter sebelum ini.