Harimau Malaya Mara Ke Final Piala AFF Suzuki Dengan Penuh Debaran &...

Harimau Malaya Mara Ke Final Piala AFF Suzuki Dengan Penuh Debaran & Dramatik

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki yang dramatik dan penuh debaran malam tadi di Stadium Rajamangala, Bangkok ditunjukkan oleh skuad Malaysia dan Thailand. Namun, keputusan 2-2 memberi kelebihan kepada skuad Harimau Malaya untuk mara ke final Piala AFF Suzuki 2018.

Pada aksi malam tadi, skuad Gajah Perang menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri apabila mendahului skuad Harimau Malaya menerusi jaringan Thitipan Puangchan pada minit ke-18 dan Pansa Hemviboon pada minit ke-63.

Usaha dan semangat juang Skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe dapat dilihat apabila melakukan dua kebangkitan bergaya selepas Muhammad Syahmi Safari melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk kedudukan 1-1 pada minit ke-28, sebelum Norshahrul Idlan Talaha sekali lagi menyamakan jaringan 2-2 pada minit ke-70.

Walau bagaimanapun, debaran hadir pada ketika Malaysia nyaris meraikan kemaraan mereka ke pentas akhir buat kali keempat setelah bola terkena tangan Muhammad Syahmi Safari sewaktu cuba mengasak tandukan Adisak di udara, membolehkan Thailand dihadiahkan sepakan penalti. Namun, Adisak Kraisorn gagal menyempurnakannya apabila bola sekadar melewati palang gol.

Kemenangan malam tadi menyaksikan skuad Harimau Malaya melangkah ke pentas final Piala AFF Suzuki buat kali keempat selepas 1996, 2010 dan 2014.

Keputusan tersebut sudah cukup buat Malaysia bagi menempah tiket ke perlawanan akhir bagi menentang sama ada Vietnam atau Filipina.