Harta Rampasan Disyaki Keluarga Najib Bernilai Hampir 1 Billion – Amar Singh

Harta Rampasan Disyaki Keluarga Najib Bernilai Hampir 1 Billion – Amar Singh

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Dianggarkan harta rampasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bernilai hampir RM900 juta hingga RM1.1 bilion. Perkara ini disahkan oleh Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dengan mengumumkan jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman bekas Perdana Menteri itu.

Amar Singh mendedahkan jumlah itu pada sidang media khas hari ini di Bukit Aman dengan menyatakan pada 21 Mei hingga 25 Jun lalu, JSJK sudah buat pengiraan dan pemeriksaan barang dirampas.

“Pengiraan dan pemeriksaan ambil masa lama kerana angka adalah besar…

“Lapan pasukan khas terdiri daripada pakar dan pegawai terbabit dalam pengiraan dan pemeriksaan membabitkan 150 anggota,” katanya.

Beliau berkata, 25 beg daripada 72 beg mengandungi barang kemas seperti cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya sebanyak 12,000 barang.

“Jumlah pasaran barang kemas yang dirampas berharga kira-kira RM880 juta…

“Cincin sebanyak 2,200 unit, subang 2,800 unit, broch 1,600 unit, tiara 14 unit…

“Barang paling berharga adalah seutas rantai emas white diamond berharga RM6.4 juta,” katanya.

Amar Singh juga berkata, sebanyak 567 beg tangan membabitkan 37 jenama seperti Hermes, Prada dan Chanel serta Bijan.

Beg tangan Hermes saja bernilai kira-kira RM51.3 juta dan paling mahal berharga RM1.6 juta.

Selain itu, turut dirampas 234 cermin mata hitam seperti Gucci dan Dior kesemuanya bernilai RM374,000.

Katanya, sebanyak enam beg mengandungi 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta membabitkan lebih 100 jenama.

Beliau berkata, kesemua barang kemas dan wang kini disimpan di Bank Negara.

Pada masa yang sama, Amar Singh juga mengesahkan jumlah rampasan wang tunai pelbagai mata wang di enam premis yang diserbu berkaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM116.7 juta.

Bagaimanapun, katanya, wang tunai yang dirampas itu tidak dapat dipastikan ia milik UMNO seperti yang didakwa.

Amar Singh berkata, sumber atau individu yang menyumbang kepada barang-barang yang dirampas sedang dikenal pasti untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan.

Beliau juga mengesahkan polis menemui pelbagai dokumen di premis di Putrajaya dan polis masih menyiasat kaitannya dengan skandal 1MDB.

“Kita akan memanggil Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam masa terdekat untuk diambil keterangan,” katanya.