Hasanah Kalah Kes Saman SPRM Dan Kerajaan Malaysia

Hasanah Kalah Kes Saman SPRM Dan Kerajaan Malaysia

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEI0) Datuk Hasanah Ab Hamid hari ini kalah dalam kes menyaman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kerajaan Malaysia.

Saman pemula itu berkaitan tindakan SPRM tidak membenarkan Hasanah berjumpa dan berunding dengan peguamnya ketika beliau direman enam hari berhubung tuduhan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana PRU14.

Dalam penghakimannya, Nordin berkata Seksyen 28A(8) dan (9) Kanun Tatacara Jenayah (CPC), yang menyentuh tentang hak seseorang yang ditangkap, tidak melanggar Perkara 5(3) dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kedua-dua Seksyen itu tidak menyekat hak untuk berunding dengan peguam, tetapi  menggantung hak itu sementara siasatan dijalankan semasa tempoh reman.

“Kedua-dua Seksyen itu terpakai bagi sesiapa juga yang ditangkap. Ia adalah undang-udang yang sah dan tidak melanggar Perkara 5(3) dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya sambil menjelaskan  bahawa Seksyen 28A(8) dan (9) CPC tidak bersifat menindas.

Beliau merujuk kepada dua keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyebut bahawa hak untuk berunding dengan peguam bermula pada hari tangkapan dilakukan, tetapi tidak boleh ditunaikan sekiranya ia menghalang siasatan polis.

“Tugas polis adalah melindungi orang ramai. Hak itu tidak boleh ditunaikan sekiranya ia menjejaskan sabarang siasatan oleh pihak polis. Saya tidak mempunyai sebab untuk menyimpang daripada keputusan mahkamah tertinggi itu,” kata Nordin.

Dalam saman difailkan pada 30 Ogos, Hasanah memohon mendapatkan perisytiharan bahawa sepucuk surat pemberitahuan yang dikeluarkan SPRM mengikut Seksyen 28A(8)(9) Kanun  Tatacara Jenayah bagi menyekat beliau daripada berunding dengan peguamnya semasa tempoh beliau direman, melanggar Perkara 5(3) dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Hasanah mendakwa Seksyen 28A adalah tidak sah dan batal serta tidak boleh dikuatkuasakan terhadapnya.

Dalam afidavit sokongan dikemukakan seorang lagi peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, peguam itu berkata firma guaman berkenaan difahamkan bahawa Hasanah ditangkap SPRM pada 28 Ogos dan anggota keluarganya mengarahkan beliau supaya hadir pada prosiding reman di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Peguam itu mendakwa bahawa satu-satunya cara untuk beliau mengetahui sebab Hasanah ditangkap dan akan disiasat mengikut Seksyen mana, adalah dengan berjumpa Hasanah secara peribadi di lokap mahkamah sebelum kes remannya dibawa ke hadapan hakim.

Bagaimanapun, Mohd Khairul mendakwa bahawa sepucuk surat pemberitahuan mengikut Seksyen 28A (8) (9) CPC diserah kepada pasukan peguam berkenaan semasa prosiding reman diadakan dan ini menafikan hak waniita berkenaan untuk berunding dengan peguamnya.

Katanya, Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa apabila seseorang ditangkap, dia perlulah dibenar berunding dan dibela pengamal undang-undang yang menjadi pilihannya.

Hasanah direman enam hari mulai 29 Ogos bagi membantu siasatan berhubung perbuatan menyalahguana kuasa dan menyelewengkan dana PRU14. Beliau dibebaskan pada 3 Sept dengan ikat jamin SPRM.

Bercakap kepada media di luar mahkamah, peguam Datuk Shaharudin Ali, yang mewakili  Hasanah, berkata beliau akan memfailkan rayuan tentang keputusan itu hari ini di Mahkamah Rayuan.  SPRM dan Kerajaan Malaysia diwakili Peguam Kanan Persekutuan Norzilati Izhani Zainal @ Zainol.

Semalam, Hasanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan melakukan pecah amanah melibatkan AS$12.1 juta (kira-kira RM50.3 juta) kepunyaan Kerajaan Malaysia.

– BERNAMA