HFMD Di Sabah Meningkat Kepada 2,605 Kes – Dr Christina

HFMD Di Sabah Meningkat Kepada 2,605 Kes – Dr Christina

0
SHARE
Datuk Dr Christina Rundi...

KOTA KINABALU, SABAH – Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang dilaporkan di Sabah setakat semalam meningkat sebanyak enam kes kepada 2,611 kes daripada 2,605 kes dicatatkan pada 27 Julai lepas, kata Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi.

Menurut Christina antara daerah yang mencatat kes tertinggi setakat ini ialah Kota Kinabalu dengan merekodkan 564 kes, diikuti daerah Beaufort (393), Penampang (258) dan Sandakan (221).

Katanya setakat ini, 24 sekolah dan taska (taman asuhan kanak-kanak) di seluruh Sabah masih ditutup berikutan penemuan kes HFMD di sekolah-sekolah berkenaan.

Bagaimanapun katanya tidak semua kes jangkitan HFMD yang dilaporkan berkenaan berlaku di sekolah atau taska sebaliknya turut berlaku di rumah.

“Kita dapati, sesetengah kes kanak-kanak yang (dijangkiti) belum masuk taska iaitu golongan kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah. Ini (jangkitan) didapati hasil daripada adik beradiknya yang terjangkit dari tempat lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2018 di sini hari ini. .

“… maksudnya, kadang-kadang kita memberi perhatian kepada taska, sekolah dan sebagainya. Namun kita juga dapati ramai kanak-kanak mendapat jangkitan bukan di taska,” katanya lagi.

Menurut Christina selain jangkitan HFMD berlaku di sekolah, taska serta dalam kalangan adik-beradik, pihaknya juga mendapati penyakit HFMD boleh juga berjangkit di kawasan awam.

Justeru, beliau​​​​​​​ mengingatkan ibu bapa atau pengasuh agar mengambil langkah pencegahan dengan tidak membawa anak-anak yang dijangkiti HFMD keluar daripada kawasan rumah bagi mengelak ia menjangkiti orang lain tanpa disedari.

– BERNAMA