Hidup Melangkaui Jangkaan Doktor, Istimewa Kanak-Kanak Perempuan Lahir Tanpa Otak

Hidup Melangkaui Jangkaan Doktor, Istimewa Kanak-Kanak Perempuan Lahir Tanpa Otak

0
SHARE

LONDON – Hidup melangkaui jangkaan doktor, itu yang berlaku terhadap seorang budak perempuan yang dilahirkan tanpa sebahagian besar otaknya apabila menyambut ulang tahun keenam di rumahnya di Aylesbury, Buckinghamshire baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail.

Kanak-kanak perempuan istimewa tersebut iaitu Lily Wetherall yang kelihatan normal ketika dilahirkan disahkan menghidap penyakit ‘hidranensefali’ selepas menjalani imbasan otak. Ibu bapanya, Sienna King, 37, dan Anthony Wetherall, 31, dimaklumkan anak mereka pekak dan bisu malah hanya hidup beberapa bulan sahaja.

“Mereka maklumkan Lily tidak mampu bergerak sendiri tetapi kami ada gambar dia berdiri. Lily sudah melangkaui usia enam tahun, dia sudah berdiri sendiri dan tersenyum setiap hari,” kata King.

Lily juga dilaporkan mampu mengenal muka saudara-mara malah pergi ke sekolah dua kali seminggu.

Walaupun tidak mempunyai sebahagian besar tisu otak, Lily masih mempunyai saraf tunjang dan bahagian bawah otak yang mengawal fungsi penting termasuk pernafasan.

‘Hidranensefali’ adalah sejenis penyakit yang berlaku dalam satu daripada setiap 250,000 kelahiran menyebabkan sebahagian besar sel otak tidak terbentuk dengan ruang kosong itu diisi cecair.

Ini menyebabkan hilangnya kawalan penglihatan, pertuturan, pergerakan dan lain-lain fungsi utama otak