Hina Agama Islam Dan Nabi Muhammad, PAS Tampil Buat Laporan Polis

Hina Agama Islam Dan Nabi Muhammad, PAS Tampil Buat Laporan Polis

0
SHARE

SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN – Angkara menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, PAS Negeri Sembilan tampil hari ini bagi membuat laporan polis bagi mendesak Kerajaan agar tindakan tegas diambil terhadap dua pemilik akaun media sosial Facebook atas tindakan mereka tersebut.

Laporan itu dibuat oleh Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Pemangku Pesuruhjaya PAS negeri, Rafiei Mustapha berkata, polis perlu bertindak profesional dalam isu tersebut supaya agama Islam dihormati oleh semua pihak.

“Kami mendesak kerajaan bersikap tegas dengan penghinaan terhadap Allah, Rasulullah dan Islam di media bertulis atau media maya.

“Ini selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi yang perlu dihormati, dipelihara dan dijaga sebaik-baiknya,” katanya kepada pengamal media selepas membuat laporan polis hari ini.

Menurut Rafiei, dua pemilik akaun media sosial Facebook tersebut yang dikenali sebagai Facebook Foo Sing Wai dan Sally Yen telah didapati melakukan penghinaan ke atas Islam dan Nabi Muhammad SAW pada 18 Februari lalu.

“PAS mengharapkan keamanan dan kestabilan negara terjamin dengan tindakan tegas dan profesional oleh polis dan kerajaan,” katanya.