Hong Kong Melarang Pemakaian Topeng Muka

Hong Kong Melarang Pemakaian Topeng Muka

0
SHARE

HONG KONG – Pemakaian topeng muka oleh penunjuk perasaan yang terlibat semalam adalah dilarang serta-merta. Ini selepas pemimpin Hong Kong mengumumkan larangan tersebut dan sekaligus menggunakan kuasa darurat era kolonial buat kali pertama dalam tempoh 52 tahun dalam usaha menamatkan bantahan ganas antikerajaan yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam yang dipetik AFP berkata bahawa arahan itu adalah di bawah Ordinan Peraturan Darurat yang memberinya kuasa untuk menguatkuasakan sebarang bentuk undang-undang semasa darurat atau bahaya awam.

“Kami percaya undang-undang baharu ini dapat mencegah penunjuk perasaan dan perusuh yang memakai topeng serta membantu polis menguatkuasakan undang-undang,” kata Lam.

Terdahulu, beribu-ribu penunjuk perasaan bertopeng yang kebanyakannya pekerja pejabat, berarak di daerah komersial Hong Kong dan berikrar akan melanggar undang-undang baharu itu.

“Golongan belia sanggup mempertaruhkan nyawa mereka. Mereka tidak kisah dipenjarakan selama 10 tahun, jadi tiada masalah untuk kami memakai topeng,” kata seorang pekerja pejabat berumur 34 tahun yang memakai topeng bedah dan dikenali sebagai Mary kepada agensi berita AFP tengah hari semalam.

Sementara itu, pengkritik-pengkritik mengecam undang-undang tersebut sebagai langkah pertama ke arah pemerintahan kuku besi di Hong Kong.Pulau itu ditadbir di bawah prinsip ‘satu negara, dua sistem’ selepas pemerintahan kolonial Britain berakhir pada tahun 1997.