Hukuman Rejam Sampai Mati Bagi Pelaku Zina, LGBT Di Brunei Tidak Dilaksanakan

Hukuman Rejam Sampai Mati Bagi Pelaku Zina, LGBT Di Brunei Tidak Dilaksanakan

0
SHARE
Sultan Hassanal Bolkiah...

BANDAR SERI BEGAWAN, BRUNEI – Hukuman rejam sampai mati untuk kesalahan pelaku gay dan zina yang telah dikuatkuasakan sebelum ini di Negara Brunei tidak akan dilaksanakan.

Perkara ini diumumkan sendiri oleh Pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berikutan hukuman tersebut mendapat bantahan global.

Bagaimanapun, menurut laporan AFP mengatakan bahawa pengkritik-pengkritik Barat semalam menggesa agar undang-undang syariah itu dimansuhkan sepenuhnya.

Dalam ucapan baginda kelmarin, Sultan Hassanal Bolkiah berkata, pemansuhan hukuman mati mandatori diguna pakai bagi undang-undang si­vil dan ia kini dilaksanakan bagi undang-undang syariah.

Undang-undang syariah itu yang turut menghukum pencuri dengan hukuman potong tangan mula dilaksanakan sepenuhnya pada bulan lalu, menjadikan Brunei sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mengamalkan undang-undang syariah di pe­ringkat kebangsaan.

Dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen, ba­ginda memberitahu bahawa terdapat begitu banyak persoalan dan salah faham tentang undang-undang syariah tersebut.

“Kedua-dua undang-undang sivil dan syariah bermatlamat untuk memastikan keamanan dan harmoni dalam negara,” katanya.

Sesetengah jenayah terma­suk membunuh dan mengedar dadah di Brunei yang majoriti penduduknya beragama Islam boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati di bawah undang-undang sivil, namun tiada siapa menjalani hukuman mati di negara itu sejak beberapa dekad lalu.

Sultan Hassanal Bolkiah berkata, Brunei telah melaksanakan penggantungan atau moratorium bagi hukuman mati untuk kes di bawah undang-undang sivil.

“Ia juga akan diguna pakai bagi kes di bawah undang-undang syariah yang menawarkan lebih banyak ruang untuk pengampunan,” katanya.

Hukuman maksimum bagi kesalahan seks sesama lelaki di bawah undang-undang syariah adalah rejam sampai mati tetapi pesalah boleh juga dijatuhi hukuman penjara atau rotan.

Golongan wanita yang didapati mengadakan hubungan sejenis pula berdepan hukuman 40 sebatan rotan atau penjara maksimum 10 tahun.