Ibadah Haji Yang Bermula Hari Ini Dilaksanakan Pada Skala Lebih Kecil

Ibadah Haji Yang Bermula Hari Ini Dilaksanakan Pada Skala Lebih Kecil

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

MAKKAH – Ibadah haji yang bermula hari ini menyaksikan pelaksanaannya sepanjang lima (5) hari dilakukan pada skala lebih kecil berikutan ancaman COVID-19, yang mendorong kerajaan Arab Saudi mengehadkan jumlah jemaah.

Tahun ini, hanya sekitar 10,000 jemaah berada di kota suci itu sekarang dan dibenarkan mengerjakan rukun Islam kelima itu, jauh lebih kecil berbanding 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia pada tahun lalu.

Pengarah Keselamatan Awam Arab Saudi, Khalid bin Qarar Al-Harbi yang dipetik AFP berkata bahawa tiada masalah berkaitan keselamatan ketika ibadah haji dan pengurangan jumlah jemaah bertujuan melindungi mereka daripada ancaman wabak.

“Jemaah haji diwajibkan memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan sosial ketika melakukan wukuf, tawaf dan upacara keagamaan lain sepanjang selama lima hari berada kota suci Makkah dan sekitar barat Arab Saudi…

“Mereka juga diwajibkan menjalani pemeriksaan suhu dan perlu ditempatkan dalam kuarantin sejak mereka mulai memasuki Makkah pada hujung minggu lalu,” katanya.

Media antarabangsa melaporkan, pekerja kesihatan melakukan sanitasi beg jemaah dan masing-masing diberi gelang elektronik bagi membolehkan pihak berkuasa menjejaki lokasi mereka.

Seluruh dan sekitar Kaabah di Masjidil Haram yang ditutup dengan kain kiswah dibersihkan dengan rapi, yang menjadi lokasi di mana umat Islam dari seluruh dunia berdoa.

Pihak berwajib pengurusan haji sudah menutup Kaabah tahun ini, menegaskan jemaah haji tidak akan dibenarkan menyentuhnya untuk membendung kemungkinan berlaku jangkitan.

Pihak berkuasa juga dilaporkan menyediakan banyak kemudahan kesihatan, klinik bergerak dan ambulans sebagai persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Media asing juga dilarang menunaikan haji tahun ini, yang lazimnya menjadi acara media global yang besar, kerana kerajaan memperketatkan kemasukan ke Makkah.

Arab Saudi pada awalnya menetapkan hanya sekitar 1,000 jemaah dibenar berada di Makkah bagi menunaikan ibadah haji, tetapi mengikut laporan media tempatan, kini kira-kira 10,000 orang dibenarkan menunaikannya.

Menurut pihak berkuasa, kira-kira 70 peratus jemaah adalah warga asing yang tinggal di sana, sementara selebihnya adalah warga negara Arab Saudi.

Semua jemaah wajib menjalani ujian COVID-19 sebelum tiba di Makkah dan menjalani kuarantin selepas menunaikan haji kerana jumlah kes di Arab Saudi sudah menghampiri 270,000 kes jangkitan iaitu yang terbesar di Asia Barat.

Berdasarkan dokumen Kementerian Haji, setiap jemaah diberi kit kelengkapan khas termasuk batu yang disterilkan untuk melontar Jamrah, cecair nyah kuman, pelitup muka, sejadah dan ihram.

Jemaah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abdullah al-Kathiri, dalam video dikeluarkan Kementerian Media Saudi, berkata beliau tidak sangka bahawa antara jutaan umat Islam, beliau terpilih bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.

“Ini adalah perasaan yang tidak dapat digambarkan memandangkan ini peluang pertama saya menunaikan haji,” katanya.

Menurut kenyataan Kementerian Haji, penduduk bukan warga Arab Saudi daripada kira-kira 160 negara melengkapkan data dalam talian bagi proses pemilihan jemaah, namun tidak menyatakan jumlah keseluruhan orang yang mendaftar.

Beberapa pemohon menzahirkan kekecewaan terhadap kaedah pemilihan yang tidak jelas dan tiada alasan khusus berhubung kegagalan permohonan mereka.

Bagaimanapun, Menteri Haji, Mohammad Benten, dalam temu bual dengan stesen televisyen rasmi Arab Saudi, Al-Arabiya, menegaskan semua proses adalah telus dan ‘status kesihatan’ adalah kriteria asas pemilihan.

Walaupun wabak COVID-19 semakin menular, sebahagian besar jemaah menganggap lebih selamat untuk menyertai ibadah tahun ini berikutan jumlah jemaah yang lebih kecil.