Ikan Paus Bryde Terdampar Di Tepi Pantai Kudat

Ikan Paus Bryde Terdampar Di Tepi Pantai Kudat

0
SHARE
Antara usaha yang dilakukan untuk menyelamatkan ikan paus seberat 2.2 tan itu...

KUDAT, SABAH – Seekor ikan paus Bryde sepanjang hampir 15 kaki terdampar hampir lima jam di pantai Kg Indarason Laut di Kudat pada Isnin.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota pasukan penyelamat serta penduduk kampung membolehkan ikan paus itu kembali berenang di lautan.

Ketua Polis Kudat, Supt Douglas Nyeging Taong, berkata ikan paus yang terkandas itu pada mulanya dilihat seorang nelayan berumur 35 tahun ketika keluar menangkap ikan di perairan Indarason sekitar jam 5 pagi, mendorongnya memaklumkan penemuan itu kepada polis.

Douglas berkata usaha membawa ikan paus itu kembali ke air bermula pada jam 7.30 pagi dengan bantuan penduduk kampung serta agensi-agensi lain. Bagaimanapun mereka terpaksa menghentikan usaha itu kerana ketika itu air surut dan tindakan itu akan menyebabkan kecederaan kepada ikan paus tersebut.

Menurutnya, mereka menyambung usaha untuk meletakkan ikan paus seberat 2.2 tan itu ke laut apabila air mula pasang, sambil menambah mereka berjaya melakukannya pada jam 10.30 pagi.

Sepasukan anggota Pasukan Pertahanan Awam diketuai Tasraip Tombong tiba di tempat kejadian sekitar jam 7.25 pagi.

Agensi-agensi lain yang terbabit dalam usaha menyelamat itu adalah kakitangan Taman-Taman Sabah, Jabatan Perikanan dan Jabatan Hidupan Liar.

Ikan paus terdampar di pantai bukan perkara luar biasa di Sabah. Bagaimanapun, kebanyakan insiden seumpamanya membabitkan ikan paus mati atau mati tidak lama selepas terdampar di pantai.

Satu kes seumpamanya membabitkan ikan paus Bryde sepanjang 20 meter yang terdampar di Kg Lok Urai  di Pulau Gaya, pada 15 Disember, 2006 dan mati tidak lama kemudian meskipun ia berjaya ditolak ke laut.