IMF Luluskan Bantuan Kecemasan Kepada 28 Negara Termiskin Di Dunia

IMF Luluskan Bantuan Kecemasan Kepada 28 Negara Termiskin Di Dunia

0
SHARE

NEW YORK – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meluluskan bantuan kecemasan baharu kepada 28 negara termiskin di dunia bagi mengurangkan beban hutang, sekali gus lebih berupaya menangani kesan pandemik COVID-19.

Pengumuman itu menyusuli tindakan sama yang diambil pada pertengahan April lalu bagi membantu 25 negara menampung pembayaran balik hutang mereka kepada IMF untuk tempoh enam bulan.

Memetik laporan AFP, pendekatan itu membolehkan sumber kewangan sedia ada disalurkan bagi tujuan kecemasan perubatan dan bantuan kemanusiaan lain ketika pandemik COVID-19.

Bantuan fasa kedua kali ini membabitkan Afghanistan, Benin, Burkina Faso, Burundi, Republik Afrika Tengah, Chad, Comoros, Congo, Djibouti, Ethiopia, Gambia, Guinea, Guinea-Bissau, Haiti, Liberia, Madagascar, Malawi, Mozambique, Nepal dan Niger.

Turut menerima bantuan ialah Rwanda, Sao Tome and Principe, Sierra Leone, Kepulauan Solomon, Tajikistan, Tanzania, Togo dan Yaman.

Kata IMF, Mali juga layak menerima bantuan tetapi tidak disenaraikan kerana belum jelas sama ada masyarakat antarabangsa mengiktiraf atau mahu berurusan dengan regim tentera yang bertindak sebagai kerajaan sekarang.

Bantuan pembayaran hutang itu disalurkan menerusi Tabung Amanah Menangani Bencana dan Bantuan (CCRT), yang membolehkan IMF menyediakan geran kepada negara termiskin dan paling terkesan akibat bencana alam atau krisis kesihatan.

Bergantung kepada sumber dana, geran CCRT boleh disediakan untuk tempoh dua tahun sehingga pertengahan April 2022, dengan anggaran bantuan AS$959 juta (RM3.97 bilion).

Sasaran IMF ialah untuk mengumpul dana $1.4 bilion (RM5.8 bilion) bagi CCRT untuk memenuhi keperluan masa depan.

Setakat ini, AS$506.5 juta (RM2.1 bilion) disumbangkan beberapa negara termasuk United Kingdom, Jepun, Jerman, Belanda, Switzerland, Norway, China, Mexico, Sweden, Bulgaria, Luxembourg dan Malta.