Imigresen Timbang ‘EZ Pass’ Untuk Lancarkan Trafik Sabah, Sarawak dan Brunei

Imigresen Timbang ‘EZ Pass’ Untuk Lancarkan Trafik Sabah, Sarawak dan Brunei

0
SHARE
Datuk Seri Mustafar Ali (Sumber Foto; Kosmo)

KUCHING, SARAWAK – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang merancang penggunaan  “EZ Pass” bagi melancarkan pergerakan orang ramai antara Sabah dan Sarawak dengan Brunei, sekali gus mengurangkan kesesakan khususnya di sempadan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata menerusi inisiatif EZ Pass ini, di peringkat permulaan pemegang pasport mungkin hanya perlu mendaftar dahulu dengan JIM bagi membolehkan mereka melintasi sempadan dengan menggunakan imbasan ‘QR Code’ yang akan disertakan bersama pasport masing-masing.

Beliau berkata inisiatif itu digerakkan susulan perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dalam rundingan tahunan pemimpin dua negara tahun lepas, dan taklimat mengenai EZ kad itu sudah dibentangkan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa baru-baru ini, dan akan dicadangkan kepada kerajaan tidak lama lagi.

“Kita memang mahu secepat mungkin (penggunaannya), tapi isu-isu seperti prasarana kaunter, isu kos dan sebagainya, perlu dibincangkan lagi… kerana kesepakatan di pihak Brunei juga perlu ada, (khususnya) mengenai sistem yang akan digunakan, perlu ada di kedua-dua pihak, barulah ia boleh beroperasi dengan baik,” katanya pada persidangan media selepas menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada warga JIM Sarawak di Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak, pada Rabu.

Menurutnya ketika ini sudah ada lorong khas FTF (Frequent Travellers Facilities) disediakan di sempadan Malaysia-Brunei, namun pada waktu tertentu seperti hujung minggu atau cuti umum, sesekali kesesakan masih berlaku di kawasan berkenaan.

Sementara itu Mustafar berkata pihaknya memang sedia maklum dan bersetuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mengenai ada ejen asing menggunakan pasport yang dikeluarkan oleh negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia untuk menyelinap masuk ke dalam negara.

Beliau berkata bagi tujuan membanteras perbuatan itu, selain meningkatkan risikan sendiri, pihaknya turut sentiasa bekerjasama rapat dengan unit risikan lain seperti Cawangan Khas dan tentera, berkongsi maklumat khusus bagi menyekat kemasukan mereka.

“Kami sentiasa melakukan gerak kerja yang berterusan bagi menjamin keselamatan dan menjaga kedaulatan negara tanpa sebarang kompromi,” katanya.