Individu Bergelar ‘Datuk Seri’ Ditahan Polis, Dipercayai Guna Potret Sultan Pahang Buat...

Individu Bergelar ‘Datuk Seri’ Ditahan Polis, Dipercayai Guna Potret Sultan Pahang Buat Syiling Emas

0
SHARE

KUANTAN, PAHANG – Seorang lelaki yang bergelar ‘Datuk Seri’ ditahan polis dalam satu serbuan di Batu Caves, Selangor petang semalam kerana dipercayai menggunakan protret Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk membuat syiling emas tanpa kebenaran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek berusia 31 tahun ditahan di sebuah restoran di Gombak, Selangor pada 7.15 malam semalam.

Beliau berkata, suspek ditahan selepas laporan polis dibuat oleh Pegawai Penyelaras Keselamatan Tengku Abdullah selepas mendapat titah baginda untuk berbuat demikian pada 28 Disember lalu.

“Pegawai baginda membuat laporan polis selepas menerima titah berkaitan pembuatan dan penjualan Gold Coin (Syiling Emas). Bertindak atas laporan dibuat, JSJK Pahang menjalankan risikan dan siasatan sebelum menahan suspek.

“Polis turut merampas syiling emas yang masing-masing tertera potret Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdullah dan jata Pahang serta satu buku katalog…

“Berdasarkan risikan yang dilakukan, polis kemudian berjaya mengesan ‘Datuk Seri’ berkenaan di sebuah kedai makan dan menahannya kerana dipercayai menipu dengan melakukan pembuatan dan penjualan syiling emas menggunakan potret diraja tanpa kebenaran,” katanya kepada pemberita dalam kenyataan hari ini.

Mohd Wazir turut berkata hasil soal siasat yang dilakukan, suspek mendakwa hanya mempunyai 4 set buku katalog berkenaan dan satu daripadanya dirampas polis semasa serbuan.

“Suspek turut mendakwa hanya membuat 2 keping syiling emas itu bagi tujuan diserahkan kepada orang tengah supaya dapat dibawa menghadap Pemangku Raja Pahang bagi mendapat perkenan dan kebenaran.

“Berdasarkan penilaian polis mendapati kos pembuatan untuk sekeping syiling emas hanya RM8,000 namun suspek menjualnya dengan harga RM18,888,” katanya.

Ahli perniagaan bergelar “Datuk Seri” berkenaan dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan pagi ini bagi perintah tahanan reman untuk membantu siasatan kes itu.

Kes ini akana disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.