Individu Yang Langgar Warga Singapura Hingga Maut Telah Dibebaskan Atas Jaminan Polis

Individu Yang Langgar Warga Singapura Hingga Maut Telah Dibebaskan Atas Jaminan Polis

0
SHARE

PETALING JAYA – Polis mengesahkan individu yang melanggar seorang lelaki warga Singapura hingga menyebabkan kematian dibebaskan atas jaminan polis selepas ditangkap awal pagi semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, individu berkenaan diambil tindakan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Dia ditahan di sekitar Johor sahaja dan dia seorang (pemandu) sahaja yang ditahan awal pagi semalam,” katanya kepada FMT, ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, mangsa langgar lari Justinian Tan, 25, meninggal dunia selepas dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

Tan dilaporkan bersama 5 rakannya berjalan ke kereta mereka kira-kira jam 3 pagi, selepas selesai makan lewat malam. Sebuah Proton Saga melarikan diri, selepas merempuh mereka.

Tan yang tidak sedarkan diri kemudiannya menggigil, batuk berdarah dan sukar bernafas.

Sebuah portal Singapura, The Independent, melaporkan Tan meninggal disebabkan HSA menangguhkan rawatan ke atasnya sehingga bayaran deposit diselesaikan.

Rakan Tan dipetik portal berita The Independent sebagai berkata, pihak berkuasa lambat bertindak, dengan ambulans hanya tiba 30 minit kemudian, walaupun jarak tempat kejadian dengan hospital hanya 5km atau 9 minit perjalanan, berdasarkan kiraan Google Maps.

Namun, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menafikan perkara itu, dan berkata Tan menerima rawatan kecemasan pada kadar segera tanpa syarat bayaran deposit.

“Rekod perkhidmatan ambulans menunjukkan sebuah ambulans dikerahkan ke tempat kejadian 2 minit selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.57 pagi, 25 Ogos lalu,” katanya, sambil berkata ambulans tiba dalam masa 13 minit, iaitu pada jam 3.10 pagi.

Menurutnya, ahli keluarga Tan hanya diminta membayar kos pengimejan berjumlah RM2,575 sebaik sahaja mereka tiba di HSA.

Beliau berkata Tan dipindahkan ke sebuah hospital di Singapura atas keputusan ahli keluarga selepas memahami risiko yang ditanggung mereka kerana menangguhkan pembedahan.

Tan merupakan anak ke-3 daripada 4 beradik itu disahkan mati otak pada jam 5.56 petang Isnin lalu. Kelmarin, ibu bapanya membenarkan doktor mencabut sistem sokongan hayatnya.