Indonesia Bakal Mencecah Angka 106,000 Kes Positif COVID-19 Menjelang Julai Ini –...

Indonesia Bakal Mencecah Angka 106,000 Kes Positif COVID-19 Menjelang Julai Ini – BIN

0
SHARE

JAKARTA, INDONESIA – Penularan wabak pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan ketika ini akan berada pada kemuncaknya menjelang Julai ini di Indonesia apabila satu kajian oleh Agensi Perisikan Negeri (BIN) menyatakan negara itu akan mencecah anggaran lebih 106,000 kes positif COVID-19 dicatatkan.

Ketuanya, Doni Monardo, menunjukkan kajian oleh BIN itu ketika mesyuarat bersama Dewan Perwakilan Rakyat IX.

Menurut ramalan tersebut yang dipetik portal berita tempatan Jakarta Post, angka kes COVID-19 di Indonesia akan meningkat sehingga 27,307 pada penghujung April, 95,451 penghujung Mei, 105,765 menjelang Jun dan 106,287 pada Julai nanti.

Doni berkata, kajian itu mungkin tepat memandangkan jangkaan BIN hampir tepat pada Mac lalu berikutan pengesahan kerajaan terhadap dua kes pertama negara itu pada 2 Mac lalu.

“Setakat ini, 99 peratus jangkaan BIN adalah tepat. Oleh itu, kami juga menjangkakan penularan mencapai puncak pada bulan Julai. Jawa antara yang berisiko tinggi,” katanya.

Khamis lalu, Indonesia mengesahkan jumlah kes COVID-19 mencecah 1,790 dengan 170 maut dan 112 sembuh, angka itu meletakkan kadar kematian akibat COVID-19 ialah 9.4 peratus, antara paling tinggi di dunia.

Wilayah Jawa mempunyai majoriti jangkitan dengan gabungan kes dari Jakarta, Benten, Jawa Barat, Jawa Tengah, Yogjakarta dan Jawa Timur berjumlah 1,519 kes.

Doni turut berkata bahawa jumlah itu akan meningkat memandangkan kerajaan gagal untuk menjalankan ujian pantas, malah beliau turut memberitahu kepada penggubal undang-undang bahawa kerajaan pusat gagal untuk menangani masalah itu serta memberi kebenaran kepada 12 makmal untuk menjalankan ujian.

“Kerajaan sudah berjanji untuk menyokong penuh ujian COVID-19 termasuklah memperuntukkan sebahagian bajet untuk keperluan ujian nanti,” katany lagi.