Industri Penerbangan Tempatan Bakal Berkembang Positif Akibat Pembatalan Projek HSR

Industri Penerbangan Tempatan Bakal Berkembang Positif Akibat Pembatalan Projek HSR

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Industri penerbangan dijangka berkembang positif dengan syarikat penerbangan tempatan bakal meraih pendapatan lebih tinggi susulan pembatalan projek mega Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, kata penganalisis.

Memetik laporan Harian Metro, dengan perubahan landskap politik negara dan beberapa dasar baru, penganalisis itu berpendapat, lebih banyak potensi serta manfaat akan dapat dicapai oleh pemain industri.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pembatalan HSR mampu melonjakkan kembali industri penerbangan yang dilihat suram beberapa tahun kebelakangan ini.

“Pembatalan projek HSR bakal diambil peluang oleh syarikat penerbangan tempatan dan luar negara…

“Ini kerana laluan penerbangan antara Kuala Lumpur – Singapura adalah laluan tersibuk di dunia dengan kekerapan sebanyak 30,537 penerbangan setahun.

“Dengan pembatalan HSR, lebih banyak lagi permintaan akan wujud bukan saja untuk penerbangan tetapi laluan darat lain seperti perkhidmatan bas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Minggu lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan untuk membatalkan projek bernilai lebih RM100 bilion itu kerana ia tidak memberikan keuntungan kepada Malaysia.

Sementara itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) baru-baru optimis prestasi industri penerbangan akan kekal positif dengan jangkaan pertumbuhan trafik meningkat daripada 6.5 peratus kepada tujuh peratus tahun ini.

Ia juga menjangkakan jumlah penumpang penerbangan di Malaysia bakal melebihi 100 juta buat kali pertama pada tahun ini kepada antara 105.6 juta hingga 106.1 juta penumpang, berbanding 99.1 juta penumpang antarabangsa dan domestik pada tahun lalu.

Pada tahun lalu, rangkaian udara Malaysia bertambah baik dengan pertambahan lapan destinasi antarabangsa dengan anggaran tempat duduk sebanyak 360,000.

Malah, rantau Asia akan terus menjadi fokus utama bagi pembangunan rangkaian udara Malaysia berdasarkan 59.8 peratus hak trafik udara yang diberikan oleh MAVCOM kepada syarikat penerbangan Malaysia pada tahun lalu adalah untuk laluan ke ASEAN, China dan India.

Secara keseluruhannya, pengendali perkhidmatan komersial melaporkan peningkatan margin keuntungan operasi sebanyak 16.7 peratus pada tahun lalu berbanding 10.4 peratus pada 2016.

Mengulas lanjut, katanya, peluang ini perlu dimanfaatkan oleh operator lapangan terbang seperti Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) untuk menarik lebih banyak syarikat penerbangan menawarkan laluan KL-Singapura.