Inkues Adib; Zuraida Bakal Lantik Seorang Timbalan Pendakwa Raya Kanan

Inkues Adib; Zuraida Bakal Lantik Seorang Timbalan Pendakwa Raya Kanan

0
SHARE
Zuraida Kamaruddin...

PUTRAJAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin akan melantik seorang Timbalan Pendakwa Raya kanan daripada senarai cadangan pihak Peguam Negara, Tommy Thomas bagi mewakili kementerian dan Jabatan Bomba Malaysia untuk prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Perkara ini dibuat susulan daripada Syazlin Mansor yang mewakili jabatan menarik diri dan Timbalan Pendakwa Raya itu akan bertindak bebas daripada pegawai yang menjalankan inkues tersebut.

Jelas Zuraida, peguam negara juga telah secara sewajarnya memutuskan bahawa Timbalan Pendakwa Raya yang akan dilantik kelak akan menerima pakai kesemua bukti dan hujahan yang dikemukakan terdahulu dalam Mahkamah Koroner oleh Syazlin Mansor termasuk keterangan Prof. Dr. Shahrom Abd.Wahid.

“Saya telah bertemu Peguam Negara berkaitan pelantikan wakil perundangan untuk kementerian dan Jabatan Bomba Malaysia bagi mengikuti prosiding inkues yang sedang berlangsung.

“Kami telah bersepakat bahawa atas dasar kepentingan bagi pihak kementerian dan bomba agar Timbalan Pendakwa Raya turut mewakili kedua-dua entiti tersebut untuk merungkai tentang bagaimana seorang anggota beruniform kami mendapat kecederaan yang membawa maut sewaktu bertugas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Zuraida lagi, harapan tinggi daripada pihak mereka agar inkues Adib dapat diteruskan dengan baik tanpa sebarang gangguan dan sekaligus menghentikan mana-mana spekulasi tidak berasas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.