IOC Sahkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 Ditangguh Ke Tahun 2021

IOC Sahkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 Ditangguh Ke Tahun 2021

0
SHARE

KUALA LUMPUR –  Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 malam semalam, telah secara rasmi mengesahkan bahawa Sukan Olimpik Tokyo 2020 ditangguhkan ke tahun depan (2021) berikutan ‘pandemik’ global penularan wabak COVID-19.

Keputusan itu dipersetujui selepas mengadakan conference call’ antara Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan Presiden IOC Thomas Bach hari ini, berdasarkan krisis global semasa dan maklumat yang disediakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Presiden IOC dan Perdana Menteri Jepun telah memutuskan bahawa Sukan Olimpik XXXII di Tokyo mesti dijadualkan semula sehingga berakhirnya tahun 2020 tetapi tidak berlanjutan sehingga musim panas 2021, untuk menjaga kesihatan para atlet, semua individu yang terlibat dalam Sukan Olimpik dan komuniti antarabangsa. 

“Kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa obor Sukan Olimpik akan terus berada di Jepun. Turut dipersetujui mengekalkan jenama sedia ada iaitu Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” menurut kenyataan bersama IOC dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020.

Sukan Olimpik dijadualkan berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos manakala Paralimpik bermula 25 Ogos hingga 6 Sept.

Kenyataan itu selanjutnya menyatakan bahawa penyebaran wabak koronavirus yang tidak pernah berlaku dan tidak dijangka itu, menyaksikan krisis tersebut semakin menular dengan lebih 375,000 kes direkodkan di seluruh dunia iaitu hampir setiap negara.

Ia merupakan penangguhan pertama Sukan Olimpik dalam sejarah 124 tahun penganjurannya, tetapi ia pernah dibatalkan semasa meletusnya Perang Dunia pada tahun 1916, 1940 dan 1944.

Dengan perkembangan terbaru ini, sistem kelayakan dan kalendar sukan dunia, yang telah pun terjejas oleh wabak COVID-19, dijangka akan melalui perubahan besar.