Israel Intai Peluang Ikat Perjanjian Dengan Beberapa Negara Arab

Israel Intai Peluang Ikat Perjanjian Dengan Beberapa Negara Arab

0
SHARE

BAITULMAQDIS – Israel mengintai peluang untuk membuat pakatan dengan negara Arab sebelum melaksanakan sebarang perjanjian damai pada masa depan.

Menteri Luar Israel, Israel Katz yang dipetik AFP berkata beliau sedang cuba mengintai peluang mengikat ‘perjanjian tidak agresif’ dengan beberapa negara  Arab yang tidak mengiktiraf Israel.

Butiran cadangan itu tidak dinyatakan, namun ia adalah petunjuk terbaharu bahawa Israel sedang cuba memperbaiki hubungan dengan beberapa negara Arab walaupun tanpa hubungan diplomatik.

Penjajahan Israel terhadap wilayah Palestin sudah lama menjadi penghalang perjanjian damai dengan negara Arab, namun kebimbangan sama terhadap Iran menyebabkan hubungan dengan negara Zionis itu kian erat, sejak beberapa tahun lalu.

“Baru-baru ini, dengan sokongan Amerika Syarikat (AS), saya mempromosi inisiatif politik untuk perjanjian tidak agresif dengan negara Teluk .

“Usaha bersejarah ini akan menamatkan konflik dan membolehkan kerjasama awam sehingga perjanjian damai ditandatangani,” kata Katz di Twitter miliknya.

Hanya dua negara Arab, Jordan dan Mesir mempunyai perjanjian damai dengan Israel, namun sejak beberapa bulan lalu, ada petunjuk hubungan Zionis kian rapat dengan beberapa negara Teluk.