Isu Kesilapan Kedudukan Warna Bendera Di Sukan SEA 2017; Malaysia Mohon Maaf...

Isu Kesilapan Kedudukan Warna Bendera Di Sukan SEA 2017; Malaysia Mohon Maaf Kepada Indonesia

0
SHARE
Sumber Foto; FMT

KUALA LUMPUR – Malaysia telah memohon maaf secara rasmi terhadap rakyat Indonesia berikutan isu kedudukan warna bendera negara itu yang terbalik dalam buku cenderamata Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur.

Memetik laporan Harian Metro, Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) menerusi satu kenyataan, malam tadi, menyatakan permohonan maaf itu atas kesilapan tidak disengajakan.

MACOC menjelaskan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin akan membuat kunjungan ke atas rakan sejawatnya, Imam Nahrawi, untuk sekali lagi mohon maaf bagi pihak MASOC.

Bagaimanapun, Khairy sebelum itu sudah meminta maaf atas kesilapan berkenaan bagi menjawab teguran sinis Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi.

Menerusi laman Twitter, Khairy menyatakan ‘Bapak Imam, Please accept my sincere apologies for this. Sesungguhnya tiada niat jahat. Saya amat kesal dengan kesilapan ini. Mohon maaf.’

Imam menerusi akaun Twitter @imam_nahrawi menyatakan ‘Pembukaan #SEAgame2017 yg bagus tapi tercederai dg keteledoran fatal yg amat menyakitkan. Bendera kita….Merah Putih. Astaghfirullaah…’