Isu MyKad Sabah; Warisan Dakwa Ada Individu Arahkan PATI Sabotaj Nama Parti

Isu MyKad Sabah; Warisan Dakwa Ada Individu Arahkan PATI Sabotaj Nama Parti

0
SHARE
Datuk Liew Vui Keong...

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Warisan Sabah (WARISAN) tidak menolak kemungkinan ada individu dari pihak pembangkang mengarahkan pendatang tanpa izin (PATI) berpura-pura meminta bantuan bagi mendapatkan MyKad untuk memburukkan nama parti itu.

Menurut kenyataan BH Online, menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dipetik mendakwa perbuatan itu adalah sebahagian taktik kotor pembangkang untuk menarik semula sokongan rakyat kerana kehabisan idea selepas kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“WARISAN tidak pernah terbabit dalam membantu PATI mendapatkan MyKad. Kami hanya menganjurkan perkhidmatan bergerak untuk masyarakat di mana kami turun padang bertemu orang ramai dan mendengar masalah mereka termasuk berkaitan kemudahan asas.

“Perkhidmatan itu tidak sepatutnya dipolitikkan, ia bukan perkara baharu kerana kerajaan sebelum ini pun melaksanakannya. Pemimpin pembangkang menggunakan isu itu sebagai cara untuk memburukkan kerajaan pimpinan WARISAN.

“Saya percaya isu MyKad yang tersebar di internet adalah kerja pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan berhubung isu MyKad membabitkan PATI yang didakwa dibantu menerusi perkhidmatan bergerak dilaksanakan Vui Keong di Parlimen Batu Sapi.

Vui Keong yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi berkata, beliau mengesan beberapa individu datang bersama surat bagi beberapa permohonan dengan format pengenalan yang sama di tiga perkhidmatan bergerak dilaksanakan di kawasan Parlimen berkenaan sebelum ini.

“Saya memutuskan untuk menyelidik di mana mereka membuat surat itu kerana saya tertanya-tanya kerana apa yang kita tahu kebanyakan mereka (PATI) buta huruf…

“Saya terkejut apabila mendapati mereka membuat surat itu di bandar (Sandakan) dan membayar orang tertentu untuk menaip surat itu antara RM10 hingga RM100 bagi sekeping surat ringkas atau hanya dengan mengisi borang tertentu,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan kakitangannya untuk menyiasat perkara itu dan membuat laporan polis jika perlu.

Vui Keong berkata, perkhidmatan bergerak yang dikendalikan pihaknya di beberapa lokasi di Parlimen Batu Sapi adalah untuk merapatkan hubungan dengan rakyat selain memudahkan orang ramai mengadu masalah tanpa perlu datang ke pejabatnya.