Isu Parodi Akaun Parodi ‘BERMANA’, Agensi Dan Individu Terkesan Boleh Ambil Tindakan...

Isu Parodi Akaun Parodi ‘BERMANA’, Agensi Dan Individu Terkesan Boleh Ambil Tindakan Sivil

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Agensi atau individu yang terkesan dengan akaun parodi atau palsu boleh mengambil tindakan undang-undang sivil, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Beliau berkata tindakan itu adalah hak masing-masing dan negara juga mempunyai undang-undang lain yang boleh diguna pakai bagi menangani mereka yang menyalahgunakan teknologi untuk kepentingan tertentu selain bertujuan menjejaskan masyarakat.

“Akaun parodi bukan sahaja masalah di Malaysia, akaun parodi ini memang berlaku berleluasa baik dalam dan luar negara. Semua adalah sama. Akaun parodi ini merupakan trend baharu dalam menyampaikan berita palsu, mengejek atau mencerca di media yang menggunakan nama/jenama atau logo yang hampir serupa dengan badan atau pertubuhan yang dikenali ramai atau orang kenamaan. 

“Akaun parodi ini selalunya dinaikkan melalui platform global iaitu Twitter atau Facebook yang berpangkalan di luar negara. Jadi akta dan undang-undang negara sama ada di Malaysia atau mana-mana negara lain ada limitasinya iaitu mengikut sempadan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

“Yang di luar negara memang susah nak banteras tetapi untuk individu dalam negara kita cuba buat pendekatan agar kita sebagai rakyat untuk lebih bermoral iaitu nak cakap apa-apa boleh tetapi jangan menipu. 

Freedom of speech but not freedom to lie.

Fadhlullah Suhaimi memberikan beberapa contoh akaun parodi di Malaysia seperti ‘BERMANA’ yang ramai menyangka ia adalah Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan baru-baru ini Jakim@MyJAKIM turut menjadi mangsa dengan logonya yang nampak sama tetapi ditambah dengan perkataan ‘Just Kidding’.

Akaun parodi ‘BERMANA’ yang mana logo serta nama hampir mirip kepada agensi berita BERNAMA…

Akaun parodi Twitter ‘BERMANA’ @bermanadotcon itu yang mempunyai 24.6k pengikut menyampaikan berita palsu manakala akaun Twitter palsu JAKIM itu pula menyeleweng ayat al-Quran dan hadis, kesemuanya atas nama parodi yang menimbulkan masalah bagi pemilik nama sebenar iaitu Bernama dan JAKIM.

“Sebagai pengikut, mereka tidak perasan dan bila kita tengok kandungan itu dia bukan sahaja berbentuk jenaka tetapi pada masa sama mengelirukan orang ramai, ia berselindung dalam tema parodi,” katanya.

Beliau berkata siasatan memerlukan sedikit masa dan pihaknya telah berhubung dengan Twitter dan Facebook selain meminta orang ramai memahami bahawa syarikat platform global berkenaan tidak berada di Malaysia, maka apa-apa yang dimohon adalah berdasarkan nilai negara mereka iaitu negara barat.

Pada 5 Okt, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri meminta Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) mengambil tindakan sewajarnya berhubung parodi membabitkan satu akaun Twitter palsu yang menggunakan nama dan logo jabatan itu.

MCMC menerusi laman web rasminya pada 6 Okt telah mengemas kini status akaun Twitter @MyJAKIM yang telah digantung dan menggesa orang ramai untuk lebih berwaspada dengan akaun parodi.

“MCMC ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Twitter atas kerjasama pantas yang diberikan dalam menggantung akaun Twitter JAKIM@MyJAKIM yang mewujudkan akaun palsu dengan niat untuk memuat naik hantaran bersifat menghina serta mengandungi ucapan kebencian terhadap agama.

“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dengan kewujudan akaun palsu sedemikian dan laporkannya kepada pihak berkuasa untuk penelitian dan tindakan selanjutnya,” menurut MCMC.-