Jabatan Peguam Negara Batalkan Arahan Pertuduhan Ke Atas Siti Kasim

Jabatan Peguam Negara Batalkan Arahan Pertuduhan Ke Atas Siti Kasim

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Jabatan Peguam Negara membatalkan arahan pertuduhan ke atas Peguam, Siti Kasim berhubung kes menunjukkan ‘isyarat lucah’ kepada salah seorang penonton wacana Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355), September, dua tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komsioner Fadzil Ahmat dalam kenyataan hari ini memaklumkan kertas siasatan berhubung Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim sebelum ini telah dipanggil semula oleh Jabatan Peguam Negara pada 10 Februari lalu.

“Pada 10 Februari 2019 (semalam) kertas siasatan tersebut telah dipanggil semula oleh Jabatan Peguam Negara, Putrajaya.

“Setelah meneliti semula segala fakta dan keterangan, pihak Jabatan Peguam Negara memutuskan arahan pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang dikeluarkan pada 18 April tahun lalu adalah dibatalkan,” katanya kepada pengamal media.

Pada April tahun lalu, polis menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa Siti berkenaan kes itu.

Bagaimanapun polis terpaksa menangguhkan perkara itu kerana memberi tumpuan kepada persediaan PRU14.

Pada insiden 5 September 2016, Siti Kasim didakwa menunjukkan ‘isyarat lucah’ kepada seorang penonton ketika forum tentang RUU 355 di Kompleks Karangkraf, Shah Alam kerana berang dengan sindiran daripada para penonton yang hadir.

Sindiran daripada penonton wujud apabila Siti didakwa mengkritik hebat RUU 355 tersebut.

Sebelum itu Siti berdiri untuk bertanya dan mengkritik kepada panel yang hadir dengan mempersoalkan mengapa orang Islam di negara ini dipaksa mematuhi Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara.