JAIM Dan Jabatan Pendidikan Negeri Bantu Polis Banteras Aktiviti Ponteng Sekolah

JAIM Dan Jabatan Pendidikan Negeri Bantu Polis Banteras Aktiviti Ponteng Sekolah

0
SHARE

MELAKA – Polis Kontinjen Melaka dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan tingkatkan Op Didik dalam usaha banteras aktiviti ponteng sekolah dan aktiviti tidak berfaedah dalam kalangan murid dan pelajar sekolah.

Menurut laporan Harian Metro, dipetik sebagai berkata Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan bahawa, Op Didik akan dibantu pegawai daripada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan JAIM.

“Murid atau pelajar dikesan berada di pusat beli-belah atau taman awam akan diminta mengemukakan surat menyatakan sebab mengapa mereka tidak berada di sekolah.

“Kalau gagal mereka akan dibawa ke sekolah, balai polis berhampiran atau pejabat JAIM, ibu bapa akan dipanggil untuk diberikan sesi kaunseling, selain itu kesalahan direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat bersama wakil Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan JAIM berkenaan cara-cara membendung salah laku pelajar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Bukit Beruang, Melaka Tengah, kelmarin.

Abdul Jalil berkata, selain Op Didik pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) bagi memastikan hanya pelajar yang mempunyai lesen memandu sah sahaja memandu atau menunggang di jalan raya.