Jamal Yunos Dihadapkan Mahkamah Atas Pertuduhan Tinggalkan Negara Tanpa Laluan Sah

Jamal Yunos Dihadapkan Mahkamah Atas Pertuduhan Tinggalkan Negara Tanpa Laluan Sah

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan meninggalkan negara ini tanpa melalui laluan yang sah, Mei lalu.

Memetik laporan Utusan Online, Jamal, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina.

Mengikut pertuduhan, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu didakwa tanpa sebab yang munasabah meninggalkan Malaysia tanpa melalui laluan yang dibenarkan atau diwartakan di Hospital KPJ Ampang Puteri pada 25 Mei lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen (Pindaan) 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 57 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.