Jangan Terpedaya Dengan Dakyah Dan Fitnah Pembangkang – Samsudin Yahya

Jangan Terpedaya Dengan Dakyah Dan Fitnah Pembangkang – Samsudin Yahya

0
SHARE
Samsudin menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada seorang warga emas...

SANDAKAN, SABAH – Rakyat khususnya di kawasan Batu Sapi diingatkan agar tidak terperdaya dengan dakyah dan fitnah yang dilemparkan pihak pembangkang kepada pemimpin dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsudin Yahya, berkata sebaliknya rakyat perlu bijak menilai fitnah dan isu yang dibawa pembangkang kerana ia semata-mata disasarkan untuk mengelirukan rakyat demi meraih sokongan, lebih-lebih lagi menjelang Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan dapat membela masa depan rakyat selain membawa pembangunan dari semasa ke semasa.

Beliau berucap demikian pada Program Sentuhan Rakyat dan majlis penyerahan 10 buah kerusi roda kepada warga emas di enam buah kampung.

Kampung-kampung tersebut ialah Kampung Karamunting, PPR Taman Batu Sapi, Kampung Lupak Meluas, Kampung Istimewa, Taman Mawar dan Taman Mesra dalam Parlimen Batu Sapi.

Samsudin, yang juga Ketua UMNO bahagian Batu Sapi, membidas pihak pembangkang yang hanya mampu menabur pelbagai janji kosong tetapi tiada keupayaan untuk menunaikan janji-janji yang mereka buat.

“Berbanding kerajaan BN, selama ini ia terbukti mempunyai rekod baik dalam membela nasib rakyat selain berjaya membawa pembangunan ke sesebuah kawasan.

“Jangan mudah diperbodohkan oleh mereka kerana harapan pihak tersebut hanya mahu penduduk dari kawasan pedalaman memberi sokongan politik terhadap mereka.

”Jika rakyat merenung tujuan mereka menggembar-gemburkan isu tertentu khususnya tanah, sudah pasti mereka akan dapat melihat bahawa ia semata-mata bersandarkan politik semata-mata,” katanya.

Tegas Samsudin, kerajaan membangunkan tanah demi meningkatkan taraf hidup penduduk dan bukannya seperti pihak tertentu yang hanya pandai melemparkan pelbagai isu demi kepentingan politik mereka.

Sebagai contoh, katanya, pelbagai pembangunan telah dilaksanakan kerajaan untuk rakyat di kawasan Batu Sapi antaranya Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi dan Lintas Sibuga,  jaringan jalan raya, gelanggang futsal untuk golongan belia selain pembinaan Masjid Wassatiyah, antara lain.

Dalam pada itu,  Samsudin yang juga Pengerusi BN Batu Sapi sekali lagi menyeru rakyat agar memperkukuhkan perpaduan dan memberi sokongan padu kepada siapa sahaja calon BN di kawasan itu yang akan bertanding pada PRU-14.

“Ini bagi memastikan kawasan Batu Sapi terus menjadi kubu kuat yang akan menyumbang kepada kemenangan BN pada PRU14,” katanya.