Jangkitan Bakteria Punca Kematian Bayi Yang Baru Lahir

Jangkitan Bakteria Punca Kematian Bayi Yang Baru Lahir

0
SHARE

WASHINGTON – Sejenis jangkitan bakteria yang ditemui dalam seorang daripada setiap lima wani­ta hamil di seluruh dunia menjadi punca kira-kira 147,000 kematian bayi semasa lahir , manakala vaksin diperlukan segera bagi menanganinya, kata pasukan penyelidik kelmarin.

AFP melaporkan bahawa kajian yang di dalam jur­nal Clinical Infectious Diseases itu merupakan penyelidikan menyeluruh pertama mengenai impak bakteria Streptokokus Kumpulan B (GBS) yang hidup dalam usus satu pertiga wanita dewasa tetapi tidak mendatangkan bahaya kepada perumah.

Namun, apabila wanita pembawa bakteria ini mengandung, kuman itu boleh menjangkiti janinnya melalui cecair amnion ataupun sewaktu bersalin semasa bayi keluar melalui salur faraj.

Bayi dan janin sangat mudah dijangkiti kerana sistem imun mereka tidak cukup kuat untuk melawan pelbagai jenis bakteria.

Sekiranya tidak dirawat, GBS boleh menyebabkan meningitis dan septisemia yang boleh membawa maut. Bayi yang selamat pula be­risiko cacat ataupun mengalami masalah pendengaran dan penglihatan kekal.

Sehingga kini, masih belum ada vaksin yang mampu menghalang GBS walaupun terdapat usaha membangunkannya.

Penemuan oleh kumpulan penyelidik dari Sekolah Kebersihan dan Kesihatan Tropika London itu mendapati terdapat 410,000 kes GBS dilaporkan setiap tahun.

Menurut laporan tersebut, wanita mengandung di India merupakan paling ramai dijangkiti GBS iaitu 2,466,500 orang diikuti China (1,934,900), Nigeria (1,060,000), Amerika Syarikat (942,800) dan Indonesia (799,100).