Janji Kerajaan PH Agar Sabah Dan Sarawak Tidak Ketinggalan Dalam Pembangunan Infrastruktur

Janji Kerajaan PH Agar Sabah Dan Sarawak Tidak Ketinggalan Dalam Pembangunan Infrastruktur

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – Kerajaan persekutuan memberi jaminan Sabah dan Sarawak tidak akan ketinggalan daripada pembangunan infrastruktur yang akan dipastikan menerusi kerjasama dengan kerajaan kedua-dua negeri.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perkara itu dapat dilihat menerusi keputusan kerajaan pusat meneruskan projek Lebuhraya Pan Borneo di kedua-dua negeri kerana menyedari projek tersebut akan turut mewujudkan peluang ekonomi.

Berdasarkan pada pertemuan hari ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga memberi jaminan untuk terus mengukuhkan hubungan dengan kerajaan pusat, katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Abang Johari di Pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, kerajaan persekutuan juga komited untuk membaik pulih sekolah daif di negeri itu.

Mengulas perkara berlainan, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata beliau tidak tahu-menahu tentang lawatan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Julau.

Diminta mengulas laporan media hari ini bahawa Dr Wan Azizah tidak sepatutnya melawat PKR Cabang Julau yang kini dibelenggu dakwaan salah laku dan rasuah, Azmin berkata PKR sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa pemimpinnya tidak boleh salahgunakan kuasa apatah lagi dalam kempen parti.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Latheefa Koya hari ini mempersoalkan tindakan Dr Wan Azizah melawat Julau menjelang pemilihan parti yang dijadualkan Sabtu ini sambil diiringi Anggota  Parlimen Julau Larry Sng yang pada masa ini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

– BERNAMA